Selepas saya menjalani ujian salasilah beberapa tahun yang lalu, saya mula berasa ingin tahu tentang nenek moyang saya. Saya bersyukur kerana berpeluang mendengar cerita tentang beberapa saudara-mara daripada mendiang ayah saya dan daripada ibu saya. Mendengar kisah tentang nenek moyang saya membuatkan saya berasa lebih dekat dengan asal usul keluarga dan membantu saya belajar daripada pengalaman mereka.
Bagi asal usul rohani kita pula, alangkah besarnya anugerah bahawa salasilah Yesus di dunia ini dicatatkan dalam Matius 1:1-17 dan Lukas 3:23-38. Salasilah Yesus membuktikan bahawa Dia ialah Mesias dan keturunan langsung daripada Abraham.
Apabila kita membaca salasilah Yesus, kita melihat kesetiaan Tuhan dalam menepati janji-Nya kepada Abraham untuk menjadikannya bapa kepada banyak bangsa (Kejadian 17:1-8). Dua ribu tahun selepas janji itu dipenuhi, rasul Matius menulis, “Inilah salasilah Yesus Kristus, anak Daud, anak Abraham” (Matius 1:1).
Salasilah dalam Alkitab memperlihatkan asal usul Yesus menjadi nyata. Kita melihat nama-nama raja seperti Raja Daud dan orang-orang biasa seperti seorang tukang kayu bernama Yusuf. Matius juga menyertakan lima orang wanita: Tamar, Batsyeba (isteri Uria), Rahab, Rut (yang dipercayai oleh beberapa sarjana bahawa mereka semua berbangsa lain, bukan Yahudi), dan Maria.
Sama ada kita tahu atau tidak tentang keturunan nenek moyang kita, kita boleh mempelajari tentang nenek moyang rohani kita melalui Alkitab, kerana kita adalah sebahagian anggota keluarga Tuhan. Apabila kita melihat bagaimana Tuhan sentiasa setia kepada mereka, kita akan mendapat semangat dan kekuatan.