Nora memulakan satu tempoh peralihan selepas suaminya meninggal. Dia mengambil alih perniagaan perkakasan suaminya dan membesarkan tiga orang anak seorang diri. “Kuatkan semangat,” sering kali beberapa sahabat berkata kepadanya. Tetapi apakah maksudnya itu? Dia berfikir. Adakah saya mesti melakukan semua tanggungjawab ini tanpa gagal?”
Tuhan memberikan tanggungjawab besar kepada Otniel semasa bangsa Israel mengalami masa peralihan. Sebagai hukuman ke atas bangsa Israel kerana mereka menyembah berhala, Tuhan menyerahkan mereka “ke dalam tangan Kusyan-Risyataim … yang membuat orang Israel takluk selama lapan tahun” (Hakim-Hakim 3:8). Di bawah pemerintahan raja Mesopotamia yang kejam, orang Israel “berseru kepada TUHAN,” dan “Dia membangkitkan seorang penyelamat bagi mereka” (ayat 9)—Otniel, yang namanya bermaksud “Kekuatan Tuhan.”
Sebagai hakim pertama Israel, Otniel tidak mempunyai perintis untuk menolongnya. Pemimpin tentera ini perlu membimbing bangsa Israel kembali kepada kehidupan dan hubungan sebagai bangsa perjanjian Tuhan, serta mempertahankan mereka daripada musuh. Tetapi kerana “Roh TUHAN turun ke atas dia” (ayat 10), dia berjaya. Otniel memimpin bangsanya dengan kuasa Tuhan sehingga, “negeri itu aman selama empat puluh tahun, sehingga [dia] mati” (ayat 11).
Bagaimanakah kita benar-benar “menjadi kuat”? Iaitu dengan menyedari bahawa kita tidak kuat, dan percaya kepada Tuhan bahawa Dia akan memberi kita kekuatan-Nya. “Kasih kurnia-Nya cukup bagi [kita], kerana kuasa-[Nya] menjadi sempurna dalam kelemahan” (2 Korintus 12:9). Kekuatan Tuhan bekerja melalui kita, melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan-Nya.