Pada tahun 1947, apabila Empayar British India dibubarkan, lebih daripada 15 juta orang berhijrah kerana alasan agama. Keadaan menjadi lebih teruk apabila berlaku banjir monsun dan wabak penyakit merebak. Lebih daripada sejuta pelarian meninggal dunia sepanjang bencana ini.

Sepanjang sejarah, manusia telah berhijrah atas alasan mencari kebebasan, keselamatan atau kehidupan yang lebih baik. Keinginan untuk berpindah adalah sebahagian daripada pengalaman manusia. Contoh paling terkenal dalam Alkitab ialah kisah penghijrahan orang Ibrani dari Mesir ke tanah yang dijanjikan. Penghijrahan bukanlah sesuatu yang asing bagi Yesus juga. Ketika masih bayi, ibu bapa-Nya membawa-Nya lari ke Mesir untuk melindungi-Nya daripada Herodes yang ingin membunuh bayi lelaki. Ini suatu hal yang ironik, kerana dahulunya bangsa Israel dibawa keluar ke Tanah Perjanjian (Keluaran 3:17) daripada raja yang membunuh anak-anak lelaki (1:16), kini Yusuf pula diberitahu supaya membawa Yesus “dan ibu-Nya ke Mesir” untuk melarikan diri daripada raja kejam yang melakukan perkara yang sama (Matius 2:13; rujuk ayat 16-18).

Matius memberitahu bahawa perjalanan ini juga menggenapi nubuat dalam Hosea 11:1―“Dari Mesir, Kupanggil anak-Ku” (Matius 2:15). Namun ini juga mengingatkan kita bahawa Kristus memahami pengalaman hidup manusia (Ibrani 4:15). Kita mempunyai Penyelamat yang mengenali kita dan pernah merasai kesusahan yang kita alami. Kita boleh mencari Dia dalam masa-masa yang sukar. Dia mendengar dan berdoa bagi kita (Ibrani 4:14-16).