Selepas seorang budak lelaki berumur empat tahun secara tidak sengaja memecahkan sebuah balang Zaman Gangsa berusia 3,500 tahun di sebuah muzium di Israel, dia menerima respons yang mengejutkan dan penuh kebaikan. Kakitangan muzium itu memaafkannya, malah menjemputnya kembali. Roee Shafir, wakil Muzium Hecht, berkata bahawa tindakan itu telah meningkatkan minat orang ramai dari seluruh dunia terhadap proses pemulihan balang itu, mungkin juga boleh menimbulkan minat anak itu terhadap sejarah dan arkeologi—inilah satu hasil yang melegakan dan sangat positif.
Kisah ini mengingatkan kita kepada pengisytiharan Tuhan yang sangat menyentuh hati tentang pengampunan-Nya terhadap pemberontakan bangsa Israel, kerana mereka telah merayu agar Harun, iaitu abang Musa, membuatkan patung anak lembu emas untuk disembah (Keluaran 32:1). “Lalu apabila dia menghampiri perkhemahan dan melihat arca anak lembu itu serta orang berpesta menari-nari itu, menyalalah kemarahan Musa. Dia menghempaskan loh-loh itu daripada tangannya dan memecahkannya di kaki gunung itu” (ayat 19).
Atas perintah Tuhan, “Musa memahat dua keping loh batu seperti loh batu yang dahulu itu. Pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai” (34:4). Apabila Tuhan datang, Dia “melintas di hadapan Musa lalu berseru, “TUHAN, ya TUHAN, Allah penyayang dan pengasih … Allah mengukuhkan kasih abadi bagi beribu-ribu orang, mengampunkan kesalahan, pelanggaran, dan dosa” (ayat 6-7).
Betapa dalamnya peringatan ini. Walaupun kita telah melakukan dosa yang paling teruk, Tuhan tetap bersedia untuk mengampuni kita. Dia rindu untuk memulihkan kita kembali kepada-Nya.