“Tidak kira di mana anda berada, apa yang anda alami; gunakan apa yang anda ada dan manfaatkan sepenuhnya,” kata seorang wanita muda dalam satu temu bual di televisyen. Kata-katanya mendorong saya untuk mendengar dengan teliti kisahnya. Saya dapati bahawa dia adalah salah seorang daripada enam adik-beradik perempuan yang sedang berusaha untuk mendapatkan ijazah kejururawatan. Mereka pernah kehilangan tempat tinggal dan hidup susah, namun mereka saling menyokong dan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama. Ketika kisah itu disiarkan, keenam-enam adik-beradik perempuan itu sedang menamatkan program kejururawatan di sebuah universiti tempatan.

Kitab Bilangan 27 menceritakan sebuah kisah tentang sekumpulan saudara perempuan yang bekerjasama dan saling menyokong. Lima orang anak perempuan Zelafehad membuat rayuan tentang undang-undang warisan dengan berkumpul dan berdiri di hadapan Musa, “Ayah kami telah meninggal … kerana dosanya sendiri … dia tidak mempunyai anak lelaki … berilah kami tanah milik daripada kalangan saudara-saudara ayah kami” (ayat 3-4). Tuhan menjawab dengan satu pernyataan yang amat mengubah keadaan: “Kata-kata anak-anak perempuan Zelafehad itu benar. Hendaklah kamu memberikan kepada mereka tanah harta pusaka” (ayat 7).

Kelima-lima adik-beradik perempuan itu bersatu hati dan memohon belas kasihan Tuhan ketika mereka berdiri di hadapan Musa. Maka Tuhan menyediakan apa yang diperlukan mereka apabila mereka datang bersama di hadapan-Nya.

Bekerjasama sesama orang percaya dalam Yesus bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi apabila kita mencari hikmat dan pimpinan Tuhan dengan rendah hati, kita akan mendapati bahawa Dia akan menolong kita untuk melayani dengan baik bersama-sama dalam Kristus.