Semasa saya masih muda, saya beranggapan bahawa adalah tidak wajar untuk meminta Tuhan menolong saya menyiapkan tugasan penulisan supaya saya dapat menghantarnya sebelum tarikh akhir. Orang lain mempunyai keperluan yang lebih besar, saya memberitahu diri saya sendiri. Masalah keluarga. Krisis kesihatan. Kekecewaan dalam pekerjaan. Keperluan kewangan. Saya juga pernah menghadapi semua perkara itu. Tetapi menyiapkan tugasan penulisan terasa terlalu remeh untuk dibawa kepada Tuhan. Tetapi kemudian, pandangan saya berubah apabila saya mendapati terdapat banyak contoh dalam Alkitab tentang Tuhan yang menolong umat-Nya, tanpa mengira kecil atau besarnya cabaran yang dihadapi oleh mereka.

Dalam satu kisah, orang Israel sangat cemas kerana mereka bakal diserang oleh musuh mereka, iaitu orang Filistin di Mizpa. “Kata orang Israel kepada Samuel, “Janganlah berhenti berseru bagi kami kepada TUHAN, Allah kita, supaya diselamatkan-Nya kami daripada tangan orang Filistin” (1 Samuel 7:8). Sebagai tindak balas, Samuel mempersembahkan korban seekor anak domba kepada Tuhan, berseru kepada-Nya bagi pihak Israel, “dan TUHAN menjawabnya” (ayat 9).

”Sementara Samuel mempersembahkan korban bakaran itu, orang Filistin maju mendekat untuk berperang melawan orang Israel. Akan tetapi, pada hari itu, kepada orang Filistin, TUHAN memperdengarkan bunyi guruh yang teramat kuat terhadap orang Filistin dan mengharu-birukan mereka sehingga pasukan mereka tumpas di hadapan orang Israel” (ayat 10).

Kemudian, “Samuel mengambil sebuah batu dan mendirikannya di antara Mizpa dan Yesana. Dia menamainya Eben-Haezer, katanya, “Sampai di sini TUHAN telah menolong kita”” (ayat 12). Samuel mendirikan batu itu untuk memperingati pertolongan Tuhan ke atas umat-Nya. Eben-Haezer bermaksud “batu pertolongan”.

Meminta pertolongan Tuhan itu selalu wajar. Marilah kita berseru kepada-Nya hari ini.