Hari itu ialah hari Selasa, orang ramai yang berjalan di trek sepatutnya berjalan mengikut arah jam menurut aturan gimnasium. Kumpulan pertama yang disertai isteri saya memang mengikut arah itu. Namun kemudian, seorang lagi masuk ke trek dan berjalan bertentangan arah jam. Beberapa orang rakannya pula mengikut—kemudian seorang lagi. Tiba-tiba suasana menjadi kacau-bilau di trek, dan mengambil masa beberapa minit untuk mengembalikan keadaan seperti biasa.
Walaupun mereka yang berjalan ke arah yang salah itu tiada niat jahat, saya tidak dapat berhenti terfikir tentang kuasa pengaruh. Seorang yang berjalan ke arah yang salah diikuti oleh seorang lagi, lalu berterusan begitu. Perkara ini seperti dicatatkan dalam Amsal 13:20: “Orang yang bergaul dengan orang arif akan menjadi arif, tetapi orang yang berkawan dengan orang bodoh akan menderita.” Mengikut jejak seseorang yang menuju ke arah yang salah akan membawa masalah.
Dalam Galatia 5, Paulus menerangkan bagaimana kesilapan sebegini boleh menghentikan kemajuan rohani kita. Katanya, “Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar? Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu”(ayat 7-8). Tuhan, yang menghendaki ketaatan kita, tidak pernah menyesatkan kita dan tidak pernah “mengacau fikiran [kita]” (ayat 10). Tetapi mereka yang menentang kebenaran-Nya boleh menghalang perjalanan rohani kita dengan memesongkan arah kita daripada-Nya.
Tuhan mahu menjadi penuntun hidup kita. Apabila kita berjalan bersama-Nya, kita tidak akan tersesat ke arah yang salah.
