Beberapa tahun yang lalu, gereja kami menjadi tuan rumah bagi pelarian yang melarikan diri dari negara mereka kerana perubahan kepimpinan politik. Ada keluarga datang hanya dengan barang yang dimuatkan dalam beg kecil. Beberapa keluarga dari gereja kami membuka pintu rumah mereka, walaupun ada yang mempunyai ruang yang terhad

Keramahan yang mulia ini mencerminkan perintah Tuhan kepada orang Israel sebelum mereka mendiami tanah yang dijanjikan. Sebagai masyarakat pertanian, mereka memahami kepentingan musim menuai. Setiap butir makanan adalah penting untuk disimpan supaya cukup untuk mereka bertahan sehingga musim menuai tahun hadapan. Tuhan memberitahu bangsa Israel agar tidak kembali untuk mengambil apa yang mungkin mereka tertinggal semasa menuai. “Biarlah gandum itu ditinggalkan untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu” (Ulangan 24:19, TMV). Mereka sepatutnya mengamalkan kemurahan hati bukan dengan memberi apabila mereka mempunyai lebihan, tetapi memberi dengan percaya bahawa Tuhanlah yang menyediakan mereka, “supaya TUHAN, Allah kamu memberkati segala usaha kamu” (ayat 19, TMV). Tuhan sentiasa mempunyai bekalan yang mencukupi.

Amalan hospitaliti (layanan mesra kepada orang asing) juga mengingatkan mereka bahawa mereka pernah menjadi “hamba di Mesir” (ayat 22). Walaupun kita mungkin tidak pernah mengalami penindasan sedemikian, kita semua pernah mempunyai pengalaman menjadi orang luar atau memerlukan bantuan. Apabila kita memberi kepada orang lain, adalah baik untuk kita ingat keperluan paling asas kita: kebebasan daripada dosa. “Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (Roma 5:8).

Apabila kita bersikap ramah dan baik hati kepada orang lain, kita menunjukkan rasa syukur dan menghormati Tuhan yang murah hati, yang “mengasihi orang yang memberi dengan gembira” (2 Korintus 9:7).