Di salah sebuah Muzium New Orleans, Amerika, terdapat rekaan-rekaan berwarna-warni yang dibuat daripada botol-botol plastik terpakai yang dipotong halus, lalu dibentuk menyerupai bulu burung. Ia malah dijadikan terendak lampu yang dipamerkan di situ. Seorang pemandu pelancong di situ berkata, “Sebagai sebuah bandar yang mengalami banyak kesulitan, kami juga telah belajar menggunakan apa yang ada untuk mencipta kegembiraan dan keindahan. Kami bukan hanya fokus pada masa-masa sukar. Sebaliknya, kami juga meraikan semangat yang tidak mudah luntur.”
Nehemia dan bangsa Israel juga menghadapi kesulitan tetapi tetap bertahan dengan kegembiraan dalam Tuhan. Mereka telah ditawan dan dibawa jauh dari tanah air mereka, dan akhirnya dapat kembali ke Yerusalem dari pembuangan (Nehemia 3:7-12, 18). Tetapi setelah tiba, mereka masih menghadapi tentangan untuk membina semula tembok yang melindungi Yerusalem (Nehemia 6). Walaupun setelah tembok siap dibina dan mereka berkumpul untuk merayakan sambil mendengar firman Tuhan, hati mereka masih terasa berat. Mereka “menangis ketika mendengar” (8:9). Tetapi Nehemia mengingatkan mereka bahawa mereka boleh menemui kegembiraan dan kekuatan dalam Tuhan—dengan mengingati siapa Dia dan pertolongan yang telah dibawa-Nya dalam hidup mereka. Nehemia berkata kepada mereka, “Sebab sukacita daripada TUHAN ialah kekuatan kamu” (ayat 10).
Memberi tumpuan kepada Tuhan juga boleh memberikan kita “kegembiraan yang besar” dan kekuatan, terutamanya apabila keadaan kita nampak suram. Kemampuan Tuhan, sifat-Nya, dan firman-Nya dapat memperbaharui minda kita dan membawa kegembiraan (ayat 12)—memberikan kekuatan dan daya tahan yang kita perlukan.