Ia bermula dengan satu e-mel yang dihantar kepada saya oleh seorang bapa yang sedang bersedih. Dia telah kehilangan anak perempuannya Alyssa—seorang mahasiswa baru—dalam kemalangan kereta, dan dia perlu bercakap dengan seseorang yang memahami kesakitan yang amat perit itu.

Hampir tiga ratus e-mel dan empat tahun kemudian, Craig dan saya akhirnya dapat bertemu secara bersemuka. Dia dapat datang ke bandar berdekatan kerana pekerjaannya. Jadi, pada hari Ahad kami berkongsi kebaktian di gereja, makan tengah hari, menceritakan kenangan tentang anak perempuan kami: Melissa dan Alyssa—dua gadis yang selalu membuat orang lain gembira, meminati sukan bola tampar, mengasihi Yesus, dan kehilangan nyawa mereka dalam kemalangan kereta.

Apakah inti pati perbualan kami pada hari itu? Kami membincangkan kesedihan kami. Dan kami menangis. Tetapi kebanyakan masa kami bercakap tentang harapan. Harapan yang benar berdasarkan janji Tuhan. “Kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan,” kata rasul Paulus. “Kita percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula … bahawa mereka yang beriman kepada Yesus dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya” (1 Tesalonika 4:13-14). Bagi orang Kristian, di sebalik kubur adalah kehidupan—kehidupan kekal.

Saya dan Craig mengakhiri hari itu dengan saling mendoakan dan bersyukur kepada Tuhan kerana kini anak perempuan kami selamat dalam pelukan kasih-Nya. Kasih Yesus mengikat hati kita, dan memampukan kita melihat harapan dalam situasi yang tidak ada harapan.