Hudson Taylor berasa susah hati. Dia telah meninggalkan England untuk berkongsi Injil tentang Kristus di China, dan pelayanan—walaupun mencabar—telah berjalan lancar. Akan tetapi, ketika dia membuat pertimbangan untuk menghantar lebih ramai orang untuk melayani di bahagian negara China yang lebih berbahaya pada tahun 1865. Disebabkan misi yang berisiko tanpa perlindungan, dia mengalami “konflik yang sengit.” Selepas bergelut dengan Tuhan dalam doa, dia menulis, “Tuhan menaklukkan ketidakpercayaanku, dan aku menyerahkan diriku sepenuhnya kepada Tuhan … dengan menyedari bahawa segala tanggungjawab … dan akibatnya harus terletak di tangan-Nya.”
Musa menerima panggilan Tuhan yang mungkin juga membuatnya susah hati. Semasa dia memimpin orang Israel keluar dari Mesir, Tuhan berfirman kepada Musa, “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pi-Hahirot, di antara Migdol dengan laut” (Keluaran 14:2). Ini bermakna mereka telah terperangkap di antara Firaun dengan perairan yang luas! Orang Israel menjadi sangat ketakutan ketika “Firaun sudah dekat” (ayat 10). Dalam keadaan panik, mereka memberitahu Musa, “Lebih baik kami menjadi hamba kepada orang Mesir daripada mati di gurun ini!” (ayat 12). Bagaimanapun Musa menjawab, “Jangan takut” (ayat 13). Dia betul. Tuhan memberikan penyelamatan dan kemenangan untuk umat-Nya ketika mereka bertenang dalam Dia (ayat 15-31).
Kadangkala, kita tidak akan memahami apa yang sedang dilakukan oleh Tuhan dalam hidup kita kerana kita tidak mempunyai pandangan-Nya. Pada saat begitulah Hudson Taylor menulis, “Sebagai hamba-Nya, tanggungjawabku adalah mentaati dan mengikut-Nya.” Kita juga boleh yakin dan bersandar pada pandangan dan rancangan Tuhan.
