Semasa saya memandu menuruni jalan curam ke tempat letak kereta, rasa cemas melanda saya. Saya pernah berada di tempat yang sama sebelum ini—dan masa itu saya tersesat. Tetapi sekarang, ketika saya mula berjalan ke arah pintu berdekatan lif, satu perasaan tenang memenuhi hati. Saya tahu jalannya! Saya berjalan melalui pintu itu dan menjumpai set lif yang dicari, dan tidak lama kemudian saya berada di tempat yang sepatutnya.
Pengalaman saya mencari jalan melalui struktur tempat letak kereta yang berselirat itu mengingatkan saya bahawa kadangkala tersesat membantu kita menemui jalan. Oleh sebab saya pernah sesat pada lawatan pertama saya ke situ, saya dapat ingat kembali apa kesilapan yang dibuat dan mengingati pintu yang membawa saya ke destinasi.
Menemui semula jalan setelah kita sesat membawa kegembiraan yang sangat besar kepada kita. Hal ini juga terbukti benar bagi ‘anak lelaki yang hilang’ dalam perumpamaan hari ini (Lukas 15:24). “Akhirnya, dia sedar” (ayat 17), anak muda yang degil itu tahu jalan pulangnya selepas tersesat di dunia. Dia sedar semua yang ditinggalkannya dan kembali ke rumah supaya dia dapat menerima “kasih dan belas kasihan” bapanya (ayat 20). Cerita itu mengatakan bahawa bapanya sangat gembira untuk menerima anak lelakinya yang hilang dan menyambutnya kembali, “anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali” (ayat 24).
Jika kita tersesat secara rohani, Tuhan telah menyediakan satu jalan, supaya kita dapat menemukan jalan pulang yang kita sudah tahu itu. Dia menunjukkan kita ke arah cahaya-Nya yang penuh kasih dan ke tempat yang kita sepatutnya berada.