Berdasarkan Iman Semata-Mata

Kebanyakan kita dibesarkan untuk mempercayai bahawa kita harus berusaha untuk mendapat penerimaan, anugerah dan pujian orang lain. Di rumah, kita berkelakuan baik untuk menyenangkan hati ibu bapa kita. Di sekolah, kita belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Di tempat bekerja, kita dikehendaki untuk melaksanakan tugas dengan baik supaya mendapat kenaikan pangkat. Apabila kita gagal mencapai taraf itu, kita mungkin berasa bersalah atau kekurangan.

Adakah kita menganggap hubungan kita dengan Tuhan juga sedemikian, dan berfikir bahawa kita mesti menjadi Kristian yang “baik” untuk masuk ke syurga? Adakah kita cuba tidak datang lewat ke gereja, berusaha untuk membantu orang lain, dan berkelakuan seperti orang salih? Apabila kita gagal, adakah kita berasa diri kita tidak dapat menghadap Tuhan?

Fikiran-fikiran sebegitu tidaklah salah sebenarnya. Namun persolan-persoalan ini tidak dapat memberikan kita penyelamatan. Yesus tidak mengatakan sesiapa yang “melakukan pekerjaan baik” atau “merupakan orang baik” tidak binasa; Dia mengatakan “setiap orang yang percaya” akan beroleh hidup sejati dan kekal.

Tuhan menyambut kita ke kerajaan-Nya dengan hanya berdasarkan iman kita, bukan usaha atau keperibadian kita. Betapa menghiburkan hati apabila kita telah dibebaskan daripada rasa bersalah akibat perkara masa lampau dan perasaan takut akan kegagalan! Satu-satunya perkara yang kita harus lakukan ialah mempercayai rahmat penyelamatan-Nya dan pekerjaan Yesus pada kayu salib.

Bagaimanapun, keimanan juga tidak bermaksud bahawa kita mengakui kebenaran Berita Baik semata-mata; ia juga bermaksud mengabdikan dan menyerahkan kehidupan kita kepada Yesus, bergantung sepenuhnya kepada-Nya sahaja. Sudikah anda percaya kepada Yesus pada hari ini?

 

Kembali ke laman web Kasih Tuhan Untuk Sedunia.