Gita sorga ber-gema
Lahir Raja Mulia
Damai dan Sejahtera
Turun dalam dunia
Bangsa-bangsa bangkitlah
Dan bersoraklah serta
Permaklumkan Kabar Baik
Lahir Kristus T’rang ajaib
Gita sorga bergema,
Lahir, sang Raja Mulia

Yang di sorga disembah
Kristus, Raja yang baka
Lahir dalam dunia dan Maria bundaNya
Dalam daging dikenal
Firman Allah yang kekal
Dalam Anak yang kecil nyatalah Imanuel!
Gita sorga bergema, “Lahir Raja mulia!”

Raja Damai yang besar
Surya Hidup yang benar
Menyembuhkan dunia
Dalam naungan sayapNya
Tak memandang diriNya
Bahkan maut dit’rimaNya
Lahir untuk memberi hidup baru abadi!
Gita sorga bergema, “Lahir Raja mulia!”

(Terjemahan Kidung Jemaat 99)

Antara lagu yang sering berkumandang di pusat beli-belah dan dinyanyikan semasa hari Krismas, inilah gubahan Charles Wesley, Hark! The Herald Angels Sing. Mari kita menghayati setiap barisan ayat lagu ini.

Stanza 1: Lagu ini menjelaskan damai dan sejahtera telah datang kepada manusia melalui pekerjaan Yesus pada kayu salib (1 Timotius 2:5). Yesus telah mendamaikan kita dengan Bapa melalui kehidupannya yang kudus, ketaatan-Nya terhadap Bapa dan kematian-Nya di atas kayu salib sebagai ganti kita. Inilah kisah benar Krismas; Yesus mendamaikan dunia dengan Bapa. Semuanya adalah kerana kasih dan rahmat Tuhan kepada kita semua.

Stanza 2: Yesus datang ke dunia sebagai bayi lelaki, dilahirkan melalui anak dara, iaitu Maria. Yesus ialah Tuhan dan manusia sepenuhnya, dan tinggal bersama-sama kita (Yohanes 1:14). Dia memahami dan mengetahui setiap perkara yang kita lalui. Tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan kita seperti dilakukan Yesus. Dialah Tuhan yang menyertai kita dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

Stanza 3: Yesus memberikan kita damai yang tidak dapat diberikan oleh dunia ini (Yohanes 14:17). Dia memberi kita kedamaian ini melalui pengorbanan-Nya dan menghantar Roh Kudus kepada kita. Dia memberikan kesembuhan, terang dan hidup sejati kepada kita kerana Dia sendirilah Terang dan Hidup itu. Dia memberikan semuanya sehingga sanggup mati pada kayu salib bagi pihak kita agar kita mendapat hidup baru yang kekal.

Sungguh indah dan mulia pekerjaan Tuhan. Jangan simpan berita gembira ini untuk diri sendiri sahaja. Seperti kata-kata lagu ini “Permaklumkan Kabar Baik,” mari kongsikan Berita Baik yang menggembirakan ini kepada orang-orang yang perlu mendengar.