Penukaran Arah

Kita biasa mendengar cerita tentang perubahan dramatik dalam kehidupan orang lain. Seseorang pelajar yang amat miskin ditawarkan biasiswa. Seseorang pesakit yang tenat diselamatkan kerana menerima organ yang didermakan tanpa jangkaan. Seseorang tawanan yang dihukum mati dibebaskan pada saat terakhir. Walaupun keadaan mereka kelihatan tidak berharapan dan kesudahan hidup mereka kelihatan tidak akan berubah, mereka diberikan permulaan hidup yang baru, iaitu sesuatu yang tidak dijangkakan atau layak diterima.

Sejak masa Adam dan Hawa, semua manusia telah ditewaskan oleh dosa. Kebodohan dan kejahatan melanda kita, kita tidak dapat terlepas daripada belenggu dosa ke atas kehidupan kita. Kita jauh daripada tahap kebenaran Tuhan. Kita layak untuk dihukum mati kerana kejahatan kita dan dipisahkan daripada Tuhan selama-lamanya (Roma 3:23, 6:23).

Namun, Tuhan menjangkau kita dan pengorbanan Yesus yang kita tidak jangkakan dan tidak layak terima telah mengubah segala-galanya. Kita bukan sahaja boleh menikmati hidup sejati dan kekal di syurga dengan penuh harapan, malah kita tidak perlu takut akan kematian lagi.

Yohanes 3:16 mengatakan bahawa kita ditakdirkan untuk binasa, “tetapi” kita menerima hidup yang sejati dan kekal. Perkataan “tetapi” adalah kata lawanan yang menunjukkan perbezaan antara dua perkara. Dalam kes ini, ia menonjolkan satu perubahan yang dramatik terhadap keadaan kita, satu perubahan sebanyak 180-darjah dalam arah hidup kita. Sebelum ini kita sepatutnya menuju ke arah kematian, namun kini kita mengubah ke arah yang hidup.

Tuhan akan memberikan kita sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita patut terima, sekiranya kita menerima apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuk kita. Sudahkah anda terima?

 

Kembali ke laman web Kasih Tuhan Untuk Sedunia.