Tiada “Syarat”

Sesetengah kanak-kanak berasa bosan untuk pergi ke pasar bersama ibu. Mereka tidak dapat mengerti sebab ibu mereka mengambil masa yang lama untuk memilih buah mangga sedangkan setiap buah itu kelihatan sama. Sebenarnya, ibu memilih dengan lama kerana dia ada senarai “syarat” yang perlu dipertimbangkan. Menurut pakar psikologi, kita juga membuat satu senarai tanpa kesedaran dalam hal jatuh cinta. Alkitab menyatakan bahawa “Allah itu kasih” (1 Yohanes 4:16). Bagaimanapun, adakah kasih-Nya juga disertakan syarat?

Dalam Renungan 1, kita mengamati perkataan pertama bagi ayat Yohanes 3:16: “Allah”. Dua perkataan yang seterusnya ialah: “sangat mengasihi”. Dalam bahasa Yunani, kedua-dua perkataan ini bermaksud dengan cara ini, menunjukkan cara yang dipilih Tuhan untuk mengasihi kita. Maka, apakah cara-Nya? Yohanes 3:16 mengatakan Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, yang bersatu dengan Tuhan Bapa, serupa dengan Dia, dan sememangnya Tuhan (Kolose 1:15-20).

Adakah anda berasa terkejut kerana Tuhan memberikan Anak-Nya untuk menyelamatkan kita? Sepatutnya anda tidak perlu berasa terkejut, kerana inilah yang dilakukan oleh Tuhan yang penuh kasih. Dia sanggup memberikan segala-gala yang terbaik kepada kita, termasuklah Dia sendiri tanpa rasa keberatan. Roma 8:32 menyatakan bahawa Dia memberikan semuanya kepada kita dengan murah hati. Hal ini menunjukkan sifat Tuhan yang mengorbankan diri kerana Dia tidak pernah ada “syarat”. Tidakkah cara Dia mengasihi kita ini indah?

Bagaimanakah kita boleh tidak memberi respons kepada Dia dan menjawab kasih-Nya?

 

Kembali ke laman web Kasih Tuhan Untuk Sedunia.