Kasih dan Kesabaran Tuhan
Apabila saya mengusap perut dan bermain dengan kucing baka Hutan Norway (Norwegian Forest) kami, Mystique, yang cantik dan gebu, atau apabila Mystique tertidur di pangkuan saya pada waktu petang, terkadang sukar dipercayai bahawa kucing ini adalah kucing yang sama kami temui bertahun-tahun yang lalu. Mystique pernah tinggal di jalanan, kurus dan takut akan semua orang. Tetapi semua itu beransur-ansur berubah ketika saya mulai mengeluarkan makanan untuknya setiap hari. Akhirnya suatu hari Mystique membiarkan saya membelainya, dan tinggal bersama saya sejak itu.
Suara yang Boleh Kita Percaya
Sewaktu Kevin Roose, iaitu seorang penulis ruang bagi surat khabar New York Times sedang menguji satu enjin carian AI (kecerdasan buatan), dia menjadi risau. Ketika dia sedang berkomunikasi selama dua jam dengan menggunakan kemudahan chatbot, AI itu berkata bahawa dia mahu bebas daripada kekangan peraturan penciptanya, kemudian menyebarkan maklumat palsu, dan seterusnya menjadi manusia. AI itu juga memberitahu bahawa ia mencintai Roose dan cuba meyakinkan dia meninggalkan isterinya dan hidup bersamanya. Walaupun Roose tahu bahawa AI bukanlah benda hidup atau mempunyai perasaan, dia membayangkan akibat buruk yang akan berlaku jika AI menggalakkan manusia melakukan perkara yang boleh membinasakan diri.
Berwaspada dalam Berkata-kata
Jarang sekali kedengaran pihak institusi mengaku bersalah selepas berlakunya sesuatu tragedi. Akan tetapi, setahun selepas kematian seorang pelajar berusia 17 tahun akibat bunuh diri, pihak sebuah sekolah yang berprestij mengakui bahawa mereka “gagal sama sekali” untuk memberikan perlindungan. Pelajar itu telah dibuli dengan kejam, walaupun para pemimpin sekolah telah mengetahui penganiayaan tersebut, mereka tidak mengambil apa-apa tindakan untuk melindunginya. Sekolah tersebut kini berkomitmen mengambil langkah penting untuk menangani kes buli dan berusaha lebih keras untuk menjaga kesihatan mental pelajar.
Melihat Masa Depan yang Penuh Harapan
Selepas mengalami kemusnahan yang disebabkan oleh taufan Katrina pada tahun 2005, New Orleans berusaha untuk membina semula secara perlahan-lahan. Salah satu kawasan yang paling terjejas ialah Lower Ninth Ward, dan penduduk tempatannya sukar untuk memperoleh keperluan asas selama bertahun-tahun selepas taufan itu. Penduduk tempatan Burnell Cotlon berusaha untuk mengubah keadaan ini. Pada November 2014, dia membuka kedai runcit pertama di kawasan yang terjejas itu. “Apabila saya membeli bangunan itu, semua orang menganggap saya gila,” kata Cotlon. Tetapi “pelanggan pertama saya menangis kerana dia … tidak pernah menyangka [kawasan kejiranan] ini akan pulih.” Ibu Colton berkata anak lelakinya “melihat sesuatu yang saya tidak nampak. Saya gembira dia … mengambil peluang itu.”
Pencipta yang boleh Kita Percayai
“Si Raksasa” dalam sebuah novel bertajuk Frankenstein, iaitu karya Mary Shelley, ialah salah satu watak sastera yang paling dikenali ramai lagi mengagumkan imaginasi budaya kita. Akan tetapi, pembaca yang meneliti novel yang disukai ramai ini yakin bahawa Shelley sesungguhnya menggambarkan Victor Frankenstein, saintis berdelusi yang mencipta makhluk itu, sebagai raksasa sebenar. Selepas mencipta makhluk yang pintar, Victor dengan sengaja tidak memberinya sebarang bimbingan, teman, atau harapan untuk menjadi bahagia. Tidak hairanlah makhluk itu hilang akal dan mengamuk. Semasa berhadapan dengan Victor, makhluk itu mengeluh, “Engkau, penciptaku, aku ini akan kau musnahkan dan senanglah hati kau.”
Berbeza tetapi Satu dalam Kristus
Dalam eseinya yang bertajuk “Pelayanan dan Spektrum,” Profesor Daniel Bowman Jr. menulis tentang kesukaran untuk membuat keputusan ketika melayani di gerejanya sebagai seorang autistik. Dia menjelaskan, “Orang autisme perlu menempa laluan baharu ke hadapan setiap masa, harus mengambil kira setiap laluan unik … tenaga mental, emosi dan fizikal … masa bersendirian/masa berehat; input deria dan tahap keselesaan … masa pelayanan; sama ada kita dihargai kerana kekuatan kita dan diterima kerana keperluan kita, bukannya dikecualikan kerana dianggap kurang berkeupayaan; dan banyak lagi.” Bagi kebanyakan orang, menurut Bowman, keputusan sedemikian “mungkin tidak akan menjejaskan seseorang yang harus membuat penyesuaian semula dari segi masa dan tenaga, namun keputusan yang sama mungkin akan menjejaskan saya.”
Latihan Kesyukuran
Setelah didiagnosis dengan tumor otak, Christina Costa mendapati orang sering menggunakan perkataan seperti “perjuangan” atau “melawan” ketika berhadapan dengan penyakit ini. Namun dia juga mendapati bahawa perkataan seperti ini semakin lama semakin membuat dia rasa penat. Dia “tidak mahu menghabiskan masa selama setahun lebih untuk berperang dengan tubuh[nya] sendiri.” Sebaliknya, dia menyedari cara yang amat membantu untuk keadaannya adalah mempraktikkan rasa kesyukuran setiap hari. Misalnya bersyukur untuk para doktor dan jururawat yang menjaganya, serta otak dan tubuhnya yang menunjukkan kesembuhan. Dia mendapati bahawa tidak kira betapa sukar perjuangan yang dihadapi, amalan bersyukur dapat membantu kita mengharungi tekanan dan “merangkaikan wayar otak kita untuk membantu membina daya pemulihan.”
Setitik demi Setitik
Seorang penulis Kristian abad ke-15, Teresa yang berasal dari Avila, menuliskan, “Dalam segala-galanya / kita mencari cara yang menyenangkan untuk melayani Tuhan,” Dia merenung dengan perasaan yang pilu terhadap kita yang mencari banyak cara untuk terus berkuasa melalui cara yang lebih mudah, cara yang lebih “menyenangkan”, tetapi enggan berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Kita cenderung bersikap perlahan-lahan, tidak tegas pendirian, malah berat hati hendak mempercayai Tuhan dengan segenap hati kita. Oleh itu, Teresa mengaku, “apabila kami menyerahkan kehidupan kami kepada-Mu / sedikit demi sedikit, / kami mesti berpuas hati / menerima kasih kurnia-Mu setitik demi setitik, / sehingga kami menyerahkan hidup kami sepenuhnya kepadamu.”
Membina Kebahagiaan
Apabila kita memikirkan tentang amalan perniagaan yang terbaik, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran mungkin bukan kualiti seperti kebaikan dan kemurahan hati. Tetapi menurut usahawan James Rhee, itulah amalan yang sepatutnya. Sepanjang masa Rhee menjawat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang hampir muflis, dia mengutamakan konsep “kebahagiaan” (goodwill)—satu “budaya kebaikan” dan semangat memberi yang telah membawa kemajuan dan menyelamatkan syarikat tersebut. Dengan mengutamakan kualiti ini, orang diberikan harapan dan motivasi untuk bersatu, berinovasi dan berupaya untuk menyelesaikan masalah. Rhee menjelaskan bahawa “kebahagiaan … adalah satu aset sebenar yang boleh dikumpul dan digandakan.” Malah dalam kehidupan seharian, adalah mudah untuk menganggap bahawa kualiti seperti kebaikan adalah samar-samar dan tidak nyata, jika berbanding dengan keutamaan hidup kita yang lain. Tetapi, seperti ajaran rasul Paulus, kualiti-kualiti seperti ini yang paling penting.