Kemurahan hati yang Menyegarkan
Pelajar-pelajar perubatan di Kolej Perubatan Albert Einstein telah membanjiri sebuah auditorium untuk mendengar ucapan Ruth Gottesman yang berusia sembilan puluh tahun dengan teliti. Semasa dia mengakhiri ucapannya, Ruth membuat pengumuman ini: dia akan menderma $1 bilion supaya para pelajar boleh menamatkan pengajian mereka secara percuma. Sorakan dan tangisan kegembiraan terus kedengaran, dan auditorium menjadi hiruk-pikuk. Inilah sumbangan terbesar yang pernah diberikan kepada sekolah perubatan. Namun dalam temu bual yang menyusul, anda pasti menyangka bahawa Gottesman merupakan penerima hadiah itu. Wajahnya memancarkan kesyukuran, kegembiraan, dan penghormatan kerana dia dapat mendermakan wangnya.
Bagaimana Si Sombong Tersungkur
John Taylor ialah seorang pakar bedah mata berbangsa British pada tahun 1700-an. Tetapi dia seorang yang sombong dan ingin terkenal, lalu mereka-reka satu reputasi seolah-olah dia seorang doktor yang hebat. Dia suka bergaul dengan para selebriti dan menjadi doktor mata peribadi untuk Raja George II. Dia pergi ke merata-rata negara untuk membuat pertunjukan perubatan, kononnya menawarkan penyembuhan ajaib, tetapi sering melarikan diri dari bandar pada waktu malam dengan membawa beg yang sarat dengan wang penduduk kampung. Namun, catatan sejarah menunjukkan Taylor sebenarnya seorang penipu dan kemungkinan telah membutakan ratusan pesakit. Sejarah mengingatinya bukan sebagai tokoh perubatan, tetapi sebagai seorang yang memusnahkan penglihatan dua orang komposer muzik terhebat pada abad itu: Bach dan Händel.
Kecil dan Perkasa
Pada 9 Disember 1987, seekor tupai telah menggigit kabel kuasa di Connecticut, Amerika Syarikat, sehingga menimbulkan gangguan pada Nasdaq, sebuah bursa saham terbesar yang beroperasi sepenuhnya secara elektronik. Kemudian segala maklumat pada skrin besarnya mula berkelip, terhenti secara perlahan dan akhirnya terpadam. Beberapa buah syarikat terbesar dunia menjadi lumpuh dan “lenyap” dalam senarai. Pelbagai badan ekonomi global memerhati dengan penuh cemas selama hampir satu jam setengah. Semua hanya kerana seekor haiwan kecil berbulu yang gigih!
Percaya Bukan kerana Melihat
Pada akhir abad ke-19, hanya segelintir orang berpeluang untuk melihat kawasan pokok sequoia yang besar di Amerika Syarikat. Jadi, ramai orang tidak mempercayai laporan tentang pokok-pokok yang sangat besar itu. Namun, pada tahun 1892, empat orang penebang pokok telah memberanikan diri untuk masuk ke Hutan “Big Stump” di California dan menghabiskan tiga belas hari untuk menebang sebatang pokok besar yang dinamakan Mark Twain. Pokok Twain berusia 1,341 tahun, setinggi lebih kurang 90 meter, dan mempunyai lilitan batang pokok lebih kurang 15 meter. Seorang pemerhati menggambarkan pokok Twain sebagai pokok “yang memiliki bentuk yang sangat menakjubkan, salah satu pokok yang paling sempurna di kawasan itu.” Walaupun pokok yang luar biasa ini telah ditebang, sebahagiannya yang indah telah dihantar ke Muzium Sejarah Alam Amerika supaya semua orang boleh melihat pokok sequoia tersebut.
Berharap kepada Tuhan
Apabila sebuah negara dilanda perang saudara, seorang lelaki telah dikerah masuk tentera oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, dia membantah: “Saya tidak mahu ambil bahagian dalam memusnahkan [negara saya].” Maka, dia pun meninggalkan negara itu. Bagaimanapun, oleh sebab dia tidak mempunyai visa yang sah, , akhirnya dia terkandas di sebuah lapangan terbang di negara lain. Selama berbulan-bulan, para pekerja lapangan terbang memberi lelaki itu makanan, dan ribuan orang mengikuti perkembangan hidupnya melalui media sosial Twitter ketika dia merayau-rayau di terminal, mengait selendang, dan terus berpegang pada harapan. Setelah mendapat tahu tentang kesusahan lelaki itu yang berpanjangan, sebuah komuniti di Kanada mengumpul dana dan berjaya mencarikan pekerjaan serta tempat tinggal untuknya
Keluar dari Kegelapan
Sebuah kapal tunda karam kira-kira 32-kilometer dari pantai Nigeria, terbalik dan tenggelam ke dasar laut. Sebelas anak kapal lemas, tetapi tukang masak kapal, Harrison Odjegba Okene, terselamat kerana menemui ruang udara dan menunggu di situ. Dia hanya ada sebotol minuman Coke sebagai bekalan, dan kedua-dua lampu suluhnya habis bateri dalam tempoh 24 jam pertama. Selama tiga hari yang menggerunkan, Okene terperangkap sendirian dalam kegelapan di dasar laut. Dia hampir hilang harapan apabila para penyelam yang datang untuk mengambil mayat, menemuinya sedang duduk menggigil jauh di dalam badan kapal.
Tewaskanlah Kejahatan dengan Kebaikan
Doktor Dolittle, seorang doktor fiksyen yang boleh bercakap dengan haiwan, telah menghiburkan para peminat melalui buku, filem dan pementasan teater. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pengarangnya, Hugh Lofting, sebenarnya mula-mula sekali menulis kisah-kisah Dolittle kepada anak-anaknya ketika dia berada di kubu parit yang mengerikan semasa Perang Dunia Pertama. Dia kemudian berkata bahawa perang itu terlalu mengerikan untuk diceritakan dalam surat-suratnya—jadi, sebagai gantinya, dia menulis dan mengilustrasi cerita. Begitulah caranya Lofting melawan kengerian dalam peperangan melalui kisah-kisah yang lucu dan penuh keriangan.
Tuhan Ada di Mana-Mana
Seorang pemain violin mengenakan topi besbol dan T-shirt, bersiap sedia berdekatan stesen metro L’Enfant Plaza di Washington, DC. Dia menggerakkan busur pada tali violin, dan alunan muzik yang merdu kedengaran. Tetapi para penumpang bergegas lalu tanpa menyedarinya. Dia memainkan keseluruhan program muzik dengan hanya segelintir orang yang berhenti untuk mendengar. Bayangkan respons orang ramai yang berlalu begitu sahaja pada hari itu, jika mereka tahu bahawa pemain muzik itu sebenarnya ialah Joshua Bell, salah seorang pemain violin terhebat dalam generasi kita, yang pada malam sebelumnya telah mengadakan konsert muziknya di Perpustakaan Kongres. Hari itu Bell telah memainkan beberapa karya muzik yang paling sukar dan mempesonakan, dengan violin Stradivarius tahun 1713 yang bernilai kira-kira $3.5 juta dolar.
Perbuatan dan Akibatnya
Pada tahun 1890, Eugene Schieffelin, seorang pakar burung amatur telah memutuskan untuk melepaskan enam puluh ekor burung Perling Eropah ke kawasan Central Park di Bandaraya New York. Walaupun sebelum ini ada orang lain pernah memperkenalkan spesies burung ini ke Amerika, tetapi yang dilepaskan oleh Schielffelin adalah yang pertama yang berjaya membiak dan direkodkan secara rasmi. Kini, terdapat kira-kira 85 juta ekor burung yang berterbangan di seluruh benua itu. Malangnya, burung ini bersifat agresif dan menyingkirkan populasi burung yang asal di benua itu, menyebarkan penyakit kepada lembu, dan dianggarkan telah menyebabkan kerosakan sebanyak berbilion-bilion ringgit setiap tahun. Schieffelin tidak menyangkakan kerosakan yang akan ditimbulkan oleh perbuatannya.