Kuasa Muzik
Pada 21 November 1915, harapan Sir Ernest Shackleton dan dua puluh tujuh orang anak kapalnya seolah-olah lenyap bersama kapal mereka Endurance, apabila ia tenggelam ke dalam kegelapan di bawah ais Antartika. Mereka terperangkap ribuan kilometer dari rumah. Kemudian, anak-anak kapal itu berkongsi beberapa perkara yang membantu mereka bertahan, termasuk sebuah alat muzik, banjo. Apabila mereka memulakan perjalanan yang melelahkan itu, Leonard Hussey (ahli meteorologi ekspedisi) ialah satu-satunya orang yang dibenarkan untuk membawa lebih daripada 1 kg barangan peribadi. Dia dibenarkan membawa banjo Windsor miliknya yang seberat 5.44 kg. Shackleton memberitahu Hussey, “Ini merupakan ubat mental yang penting, dan kita akan memerlukannya.” Jurnal anak kapal merinci kuasa muzik Hussey.“Banjo itu … memberi makanan kepada otak,” tulis seorang anak kapal. Seorang lagi merenungkan tentang “banjo milik Hussey yang sangat diperlukan.”
Kebebasan dalam Kristus
Pada tahun 1849, Henry “Box” Brown (seorang abdi dari Virginia, Amerika Syarikat) melipatkan tubuhnya ke dalam sebuah peti kayu yang dilabel “barang kering,” dan dua rakannya menghantarnya dari Richmond ke Philadelphia. Brown menempuh perjalanan selama 26 jam di dalam kotak itu (berukuran 91 x 76 x 60 cm), dengan tiga buah lubang kecil untuk udara. Apabila golongan pemansuhan perhambaan mengeluarkannya dari kotak itu, dia menyanyikan parafrasa Mazmur 40, menyatakan harapannya dalam Tuhan yang menjanjikan kebebasan. “Jika anda tidak pernah kehilangan kebebasan seperti saya, anda tidak akan faham betapa kuatnya harapan untuk dibebaskan itu. Bagi saya, harapan untuk bebas sangat penting, ia bagaikan sauh kapal yang membuatkan saya tetap kuat dan tidak berputus asa,” tulis Brown kemudian.
Bekerja Bersama Tuhan
Sebaik sahaja Taliban berjaya menguasai kerajaan Afghanistan pada tahun 2021, dan puluhan ribu orang terperangkap tanpa jalan keluar, ramai orang menjaditerkurung dan terdesak. Orang dari seluruh dunia bertindak pantas, termasuk seorang pemuda melancarkan kempen dalam media sosial Instagram, dan berjaya mengumpul $7 juta (RM32.9 juta) untuk membiayai kos penerbangan sewaan khusus untuk menindahkan para pelarian. “Kami telah menghapuskan perpecahan politik dalam situasi ini,” katanya kepada sebuah saluran berita, “dan bersatu padu dari semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyelamatkan orang-orang ini.” Mereka sanggup berani turun tangan untuk menolong.
Kemurahan hati yang Menyegarkan
Pelajar-pelajar perubatan di Kolej Perubatan Albert Einstein telah membanjiri sebuah auditorium untuk mendengar ucapan Ruth Gottesman yang berusia sembilan puluh tahun dengan teliti. Semasa dia mengakhiri ucapannya, Ruth membuat pengumuman ini: dia akan menderma $1 bilion supaya para pelajar boleh menamatkan pengajian mereka secara percuma. Sorakan dan tangisan kegembiraan terus kedengaran, dan auditorium menjadi hiruk-pikuk. Inilah sumbangan terbesar yang pernah diberikan kepada sekolah perubatan. Namun dalam temu bual yang menyusul, anda pasti menyangka bahawa Gottesman merupakan penerima hadiah itu. Wajahnya memancarkan kesyukuran, kegembiraan, dan penghormatan kerana dia dapat mendermakan wangnya.
Bagaimana Si Sombong Tersungkur
John Taylor ialah seorang pakar bedah mata berbangsa British pada tahun 1700-an. Tetapi dia seorang yang sombong dan ingin terkenal, lalu mereka-reka satu reputasi seolah-olah dia seorang doktor yang hebat. Dia suka bergaul dengan para selebriti dan menjadi doktor mata peribadi untuk Raja George II. Dia pergi ke merata-rata negara untuk membuat pertunjukan perubatan, kononnya menawarkan penyembuhan ajaib, tetapi sering melarikan diri dari bandar pada waktu malam dengan membawa beg yang sarat dengan wang penduduk kampung. Namun, catatan sejarah menunjukkan Taylor sebenarnya seorang penipu dan kemungkinan telah membutakan ratusan pesakit. Sejarah mengingatinya bukan sebagai tokoh perubatan, tetapi sebagai seorang yang memusnahkan penglihatan dua orang komposer muzik terhebat pada abad itu: Bach dan Händel.
Kecil dan Perkasa
Pada 9 Disember 1987, seekor tupai telah menggigit kabel kuasa di Connecticut, Amerika Syarikat, sehingga menimbulkan gangguan pada Nasdaq, sebuah bursa saham terbesar yang beroperasi sepenuhnya secara elektronik. Kemudian segala maklumat pada skrin besarnya mula berkelip, terhenti secara perlahan dan akhirnya terpadam. Beberapa buah syarikat terbesar dunia menjadi lumpuh dan “lenyap” dalam senarai. Pelbagai badan ekonomi global memerhati dengan penuh cemas selama hampir satu jam setengah. Semua hanya kerana seekor haiwan kecil berbulu yang gigih!
Percaya Bukan kerana Melihat
Pada akhir abad ke-19, hanya segelintir orang berpeluang untuk melihat kawasan pokok sequoia yang besar di Amerika Syarikat. Jadi, ramai orang tidak mempercayai laporan tentang pokok-pokok yang sangat besar itu. Namun, pada tahun 1892, empat orang penebang pokok telah memberanikan diri untuk masuk ke Hutan “Big Stump” di California dan menghabiskan tiga belas hari untuk menebang sebatang pokok besar yang dinamakan Mark Twain. Pokok Twain berusia 1,341 tahun, setinggi lebih kurang 90 meter, dan mempunyai lilitan batang pokok lebih kurang 15 meter. Seorang pemerhati menggambarkan pokok Twain sebagai pokok “yang memiliki bentuk yang sangat menakjubkan, salah satu pokok yang paling sempurna di kawasan itu.” Walaupun pokok yang luar biasa ini telah ditebang, sebahagiannya yang indah telah dihantar ke Muzium Sejarah Alam Amerika supaya semua orang boleh melihat pokok sequoia tersebut.
Berharap kepada Tuhan
Apabila sebuah negara dilanda perang saudara, seorang lelaki telah dikerah masuk tentera oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, dia membantah: “Saya tidak mahu ambil bahagian dalam memusnahkan [negara saya].” Maka, dia pun meninggalkan negara itu. Bagaimanapun, oleh sebab dia tidak mempunyai visa yang sah, , akhirnya dia terkandas di sebuah lapangan terbang di negara lain. Selama berbulan-bulan, para pekerja lapangan terbang memberi lelaki itu makanan, dan ribuan orang mengikuti perkembangan hidupnya melalui media sosial Twitter ketika dia merayau-rayau di terminal, mengait selendang, dan terus berpegang pada harapan. Setelah mendapat tahu tentang kesusahan lelaki itu yang berpanjangan, sebuah komuniti di Kanada mengumpul dana dan berjaya mencarikan pekerjaan serta tempat tinggal untuknya
Keluar dari Kegelapan
Sebuah kapal tunda karam kira-kira 32-kilometer dari pantai Nigeria, terbalik dan tenggelam ke dasar laut. Sebelas anak kapal lemas, tetapi tukang masak kapal, Harrison Odjegba Okene, terselamat kerana menemui ruang udara dan menunggu di situ. Dia hanya ada sebotol minuman Coke sebagai bekalan, dan kedua-dua lampu suluhnya habis bateri dalam tempoh 24 jam pertama. Selama tiga hari yang menggerunkan, Okene terperangkap sendirian dalam kegelapan di dasar laut. Dia hampir hilang harapan apabila para penyelam yang datang untuk mengambil mayat, menemuinya sedang duduk menggigil jauh di dalam badan kapal.