Pada tahun 1849, Henry “Box” Brown (seorang abdi dari Virginia, Amerika Syarikat) melipatkan tubuhnya ke dalam sebuah peti kayu yang dilabel “barang kering,” dan dua rakannya menghantarnya dari Richmond ke Philadelphia. Brown menempuh perjalanan selama 26 jam di dalam kotak itu (berukuran 91 x 76 x 60 cm), dengan tiga buah lubang kecil untuk udara. Apabila golongan pemansuhan perhambaan mengeluarkannya dari kotak itu, dia menyanyikan parafrasa Mazmur 40, menyatakan harapannya dalam Tuhan yang menjanjikan kebebasan. “Jika anda tidak pernah kehilangan kebebasan seperti saya, anda tidak akan faham betapa kuatnya harapan untuk dibebaskan itu. Bagi saya, harapan untuk bebas sangat penting, ia bagaikan sauh kapal yang membuatkan saya tetap kuat dan tidak berputus asa,” tulis Brown kemudian.

Kebebasan ialah pusat kepada cara Tuhan berkarya dalam hati kita dan di dunia ini. Hikmat-Nya membawa kepada kebebasan rohani, tetapi hikmat palsu membawa penindasan. “Di mana ada Roh Tuhan,” kata Paulus, “di situlah ada kebebasan” daripada dosa, maut, dan penghukuman (2 Korintus 3:17). Apabila kita mendengar Tuhan dan mengikuti jalan-Nya, kebebasan terhasil. Malangnya, tindakan yang sebaliknya juga benar: Apabila kita mengabaikan-Nya dan menolak panggilan-Nya, kita menjadi terperangkap dan terkurung. Tuhan membebaskan dan mengubah kita melalui Roh-Nya (ayat 18), tetapi dosa dan pemberontakan memerangkap kita.

Kadangkala kita percaya bahawa Tuhan mengehadkan dan menghalang peluang serta kenikmatan kita. Tetapi sebenarnya, Dialah satu-satunya yang dapat memimpin kita kepada masa depan yang penuh harapan dan membimbing kita kepada kebebasan sejati.