Cinta Romantik dalam Alkitab
Yohanes 15:13 “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.”
Valentine’s Day atau Hari Kekasih selalu memberi gambaran tentang coklat, bunga, dan pasangan kekasih yang sedang “dating” di tempat awam. Pada sesetengah pihak, ia dijadikan komersial atau ada yang mendakwa bahawa ia berasal daripada agama Kristian.
Bagi pemahaman saya, hari tersebut dinamakan sempena seorang paderi atau uskup pada 1800 tahun yang lalu. Lagenda mengatakan bahawa semasa dalam tahanan rumah, dia menyembuhkan anak perempuan hakim yang buta dan menyebabkan seluruh keluarga hakim tersebut mempercayai Yesus. Malangnya, dia kemudian ditangkap semula dan dihukum mati. Sebelum dihukum mati pada 14 Februari 269 M, dia menulis surat kepada anak perempuan hakim dan menandatangani “Daripada Valentine anda.” Inilah sebabnya kematian St. Valentine sangat dikaitkan dengan perayaan Valentine’s Day pada hari ini.
Apakah cinta romantik berdasarkan Alkitab? Pada zaman Alkitab, percintaan tidak berlaku seperti pada hari ini. Perkahwinan biasanya diatur seperti Abraham menghantar hambanya untuk mencari isteri bagi anaknya, Ishak (Kejadian 24:1-67). Kadang-kadang, ia adalah secara transaksi ekonomi seperti Yakub yang bekerja tujuh tahun untuk mengahwini Rahel (Kejadian 29:14-30).
Mungkin salah satu kisah cinta yang paling romantik dalam Alkitab adalah tentang Rut, yang mengikuti ibu mertuanya, Naomi, kembali ke Betlehem (Rut 1:1-22). Dalam dunia yang lelaki adalah pencari nafkah, kedua-dua balu ini bergelut untuk menyara kehidupan. Akhirnya, Rut berkahwin dengan Boas. Tetapi walaupun dalam percintaan ini, tiada langsung “dating” atau tarian. Boas hanya berlaku baik dan melindungi Rut ketika dia pergi memungut gandum (Rut 2:2-19). Kemudian, atas nasihat Naomi, Rut meminta Boas untuk “mengembangkan jubah” untuk melindunginya, yang pada dasarnya bermaksud lamaran perkahwinan (Rut 3:1-18). Terdapat pernyataan cinta yang kuat dalam cerita ini (Rut 1:16-17).
Walau bagaimanapun, itu bukanlah ungkapan cinta romantik antara Rut dan Boas, tetapi ungkapan komitmen Rut kepada Naomi, daripada seorang menantu kepada ibu mertuanya.
Percintaan dalam Alkitab tidak akan lengkap tanpa Kidung Agung. Ini adalah puisi cinta yang sangat jelas tentang huraian cinta secara fizikal sehingga Yahudi ortodoks melarang lelaki berumur 30 tahun ke bawah membacanya. Ia menggambarkan percintaan antara seorang gadis dan Raja (Kidung Agung 1:4,12). Mereka berjumpa, berpisah, dan saling merindukan dan memuji antara satu sama lain. Buku ini mengajar bahawa cinta itu haruslah spontan dan tanpa paksaan (2:7; 3:8; 8:4); perkara-perkara kecil seperti kemarahan, kecemburuan, dan kebencian perlu ditangani sebelum menjejaskan hubungan (2:5); dan cinta sejati itu tidak dapat dipadam dan dibinasakan (8:6-7).
Kesimpulannya, walaupun Hari Kekasih disambut oleh ramai orang, ia tiada kaitan langsung dengan agama Kristian dan tiada asas Alkitab. Walau bagaimanapun, cinta romantik yang dirayakan adalah anugerah Tuhan yang baik. Ia harus dinikmati dalam sempadan yang ditetapkan oleh Tuhan – komitmen sepanjang hayat antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Dalam konteks ini, kuasa cinta yang menyatukan pasangan bukan sahaja “sehingga maut menceraikan kita” (Kidung Agung 8:6), tetapi lebih kuat daripada maut dan telah mengalahkannya. Seperti yang dikatakan Yesus “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (Yohanes 15:13). Oleh itu, mari merayakan cinta Yesus kepada kita.
>>Baca: Kasih Sejati
>>Baca: Batasan Dalam Percintaan
Artikel ini diterjemah daripada “spotlight” bahasa Inggeris ODB Malaysia.