Kisah Bekas Penagih

 

“Ramai antara kita memerlukan peluang kedua. Tetapi, adakah kita benar-benar mendapatkannya?

Dengan kasih kurnia Tuhan, peluang kedua berlaku dalam kehidupan Steven . Dia memilih untuk hidup demi Tuhan dan mengasihi orang-orang yang memerlukannya.

Steven Chin mula merokok dan meminum arak pada umur 15 tahun. Disebabkan pengaruh rakan-rakan, dia mula menyalahgunakan dadah pada umur 21 tahun. Hidup dia semakin hancur sejak itu. 

Steven berasal dari Keningau, Sabah dan seorang yang nakal dan suka mengusik orang sehingga selalu dihukum oleh bapanya. Semasa kecil, dia selalu melawat kopitiam neneknya dan meneroka kawasan bukit di sekitarnya. Hidup Steven pada masa itu adalah amat sederhana dan bahagia.

 

Fasa Kejatuhan

Sebagai remaja, Steven tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapanya. Mereka kurang berkomunikasi di rumah dan dia lebih suka melepak dengan kawan-kawannya di luar. Pemberontakannya akhirnya menjurus kepada penyalahgunaan dadah. 

Selama 6 tahun, cubaan untuk berhenti daripada mengambil dadah gagal.

Selama 6 tahun, cubaan untuk berhenti daripada mengambil dadah gagal. Bapanya memukul dia dengan batang paip dan besi agar dia berhenti. Namun, ketagihannya semakin teruk sehingga dia perlu menipu, meminjam duit daripada “along”, bahkan menjauhkan diri daripada keluarganya dengan merempat di jalanan seorang diri. 

Kesihatannya juga merosot dan dimasukkan ke hospital disebabkan pendarahan gastrik akibat pengambilan alkohol secara berlebihan. Pada masa itu, Steven berasa seperti kehilangan maruah dan keyakinan sehingga dia cuba membunuh diri sebanyak empat kali.   

 
Fasa Kesedaran

Di tengah-tengah kesuraman, Tuhan sedang melihat Steven.

Pada November 2021, ketika berumur 27 tahun, dia melakukan cubaan membunuh diri dengan terjun dari sebuah jambatan. Namun, dihalang oleh ketakutannya. Di tengah-tengah kesuraman, Tuhan sedang melihat Steven. Tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripada keluarganya untuk mendesak dia pulang. Kemudian, dia pulang ke rumah kerana tiada pilihan. 

Steven berkata, “Apabila aku tiba di rumah, orang yang membuka pintu rumah bukanlah keluarga saya tetapi bapa kepada sahabat saya yang sudah bebas daripada dadah. Dia pernah berkongsi tentang Yesus kepada saya tetapi saya akan memarahinya sehingga dia pergi. Kali ini, dia hanya berkata: ‘Akhirnya kamu pulang.’ Saya tidak mengendahkannya dan terus masuk ke dalam rumah.”

“Bapa sahabat saya menunjukkan gambar-gambar pusat pemulihan di Kajang, Selangor. Dia menjelaskan program anti dadah, aktiviti harian dan saat teduh yang dijalankan di sana. Pada masa itu, saya benar-benar ingin memarahi dia lagi.”

Bapa Steven juga mendesaknya untuk berubah. Dia memberi Steven dua pilihan: sama ada berhenti atau memutuskan hubungan keluarga. 

Akhirnya Steven bersetuju kerana dia tidak mahu memutuskan hubungan keluarga. Dia melaporkan dirinya kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ‘terbang’ dari Sabah semasa Perintah Berkurung. “Prosesnya tidak mudah, saya melalui setiap jabatan kerajaan, membeli tiket penerbangan dan mendaftar ke pusat pemulihan,” kata Steven.

 

Fasa Pemulihan 

Semasa di pusat, Steven dikurung di bilik pemulihan selama dua minggu. Dia sangat letih akibat kurang tidur seperti yang dialami oleh kebanyakan penagih. Sambil mengenang, dia berkata dengan gembira, “Pusat menyediakan banyak makanan dan kami akan makan sebanyak yang kami mahukan. Saya akan kembali bertenaga secara perlahan-lahan. Terdapat TV yang menayangkan kesaksian-kesaksian Kristian dan boleh dilihat melalui jendela. Saya akan menonton kerana tiada apa-apa yang boleh dibuat.”

Dalam desakannya, Steven teringat rancangan TV tentang cara bercakap dengan Tuhan.

Ketagihan dadah selama bertahun-tahun telah menyebabkan dia mengalami masalah pundi. Kesakitannya amat sangat, bahkan ubat tahan sakit pun tidak dapat membantu. Pada suatu malam, dia berasa sangat sakit sehingga tidak dapat membaringkan diri. Dalam desakannya, Steven teringat rancangan TV tentang cara bercakap dengan Tuhan. Dia pun memutuskan untuk mencubanya. Dia bertelut dan berdoa, “Tuhan, jika Engkau berkuasa, izinkan aku tidur dengan nyenyak malam ini agar aku akan percaya bahawa Engkaulah Tuhan yang benar.”

Dia mengulangi doanya berkali-kali dan akhirnya tertidur. Sebelum kejadian itu, dia akan terbangun beberapa kali pada waktu malam dan perlu membuang air kecil setiap 10 minit. Tetapi pada malam itu, dia tertidur sehingga pagi. 

Seorang senior menyedari hal itu lalu memberikannya sebuah Alkitab.

Malam berikutnya, dia mengalami masalah yang sama dan berdoa lagi. Kali ini, dia bercakap lebih banyak dengan Tuhan, merenung hidupnya dan menangis dengan kuat. Seorang senior menyedari hal itu lalu memberikannya sebuah Alkitab. Sejak itu, Tuhan mulai menyembuhkannya secara rohani dan menuntun dia melalui firman-Nya. 

Ada perbezaan dalam laporan kesihatannya, keadaannya bertambah baik selepas sebulan menjalani ujian.

Pada bulan Mei 2022, selepas didesak oleh keluarganya, akhirnya Steven pergi berjumpa doktor untuk pemeriksaan badan. Dia telah berjanji bahawa jika Tuhan menyembuhkannya, dia akan terus tinggal di pusat itu. Namun, dia hanya berjanji separuh hati tanpa benar-benar mengharap jawapan Tuhan. Sungguh menghairankan, ada perbezaan dalam laporan kesihatannya, keadaannya bertambah baik selepas sebulan menjalani ujian. Doktor berkata bahawa kemungkinan untuk pulih adalah sehingga 60%. Setahun kemudian selepas pemeriksaan lain, pundi Steven telah sembuh sepenuhnya tanpa sebarang luka!

 
Fasa Perdamaian 

Dia berjanji untuk melayani Tuhan jika hubungan mereka dipulihkan.

Kemudian, Steven berdoa untuk perdamaian dengan keluarganya. Dia berjanji untuk melayani Tuhan jika hubungan mereka dipulihkan. Dari masa ke masa, komunikasi mereka semakin baik melalui surat pendek. Walaupun singkat, dia menghargai waktu itu. 

Dia pernah menjemput bapanya ke acara anti dadah di Sabah tetapi bapanya berkata, “Bapa sibuk. Jika ada masa, aku akan pergi. Jika tiada, aku tidak akan pergi.” Ini mengecewakan Steven dan berhenti terlalu berharap. 

Tetapi semasa acara tersebut, dia melihat bapanya dalam kalangan penonton semasa dia menaiki pentas. Dia sangat terharu sehingga menitiskan air mata. Itulah kali pertama Steven meminta maaf selepas bertahun-tahun menyakitkan hati keluarga dan diri sendiri. 

“Tuhan kita benar-benar hebat,” kata Steven selepas menyedari bahawa Tuhan mempunyai masa-Nya sendiri dan telah mengatur detik perdamaian ini. Sejak itu, hubungan mereka semakin baik. Bapanya mengaku, “Inilah kali pertama kamu menjadi anak dan aku menjadi bapa. Oleh sebab kamu telah memberi bapa peluang untuk memaafkan kamu, aku pun harap kamu juga memberikan aku peluang untuk menjadi bapa yang baik bagi kamu.” 

 

Tujuan Hidup 

Steven sangat bersyukur untuk hidup yang baharu dan memutuskan untuk terus tinggal di pusat untuk melayani Tuhan dengan membantu penagih lain sepanjang proses pemulihan mereka. “Ibu bapaku mahu aku pulang tetapi aku rasa belum tiba masanya,” kata Steven. Steven sudah bebas dadah selama tiga tahun dan sekarang dia menjadi penyelaras aktiviti, memimpin saat teduh, dan mendorong rakan-rakan yang lain. Walaupun terdapat cabaran semasa membimbing dan memuridkan yang lain, dia sanggup menghadapinya dengan memegang prinsip Alkitab seperti kerendahan hati, kesabaran dan belas kasihan kerana dia memahami perjuangan seorang penagih yang dalam proses pemulihan. 

Pada hari ini, Steven sangat bersyukur terhadap orang-orang Kristian yang sangat menyokong dan mengalu-alukannya ke komuniti gereja. Pada mulanya, dia risau dia akan menerima layanan yang berbeza, sebaliknya, mereka menunjukkan kasih, kesabaran, kebaikan dan tidak menghakimi. Dia juga berterima kasih kepada bapa rakannya kerana telah berkongsi tentang Yesus kepadanya dan pusat pemulihan atas peranan mereka dalam perubahannya. 

Berakhirnya perjalanan dadah menandakan permulaan hidup yang baru.

“Alkitab ialah hartaku sekarang,” kata Steven sambil menekankan kepentingan membaca Alkitab setiap hari dan mengadakan saat teduh seperti menggunakan Pedoman Harian. Berakhirnya perjalanan dadah menandakan permulaan hidup yang baru. Steven percaya bahawa perjalanan seterusnya tidak akan mudah, tetapi pada akhirnya kita yang harus membuat pilihan bagaimana kita mahu menjejaki jalan itu.

Dia mendesak komuniti termasuk gereja, sekolah dan keluarga memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak muda dan orang-orang di sekeliling mereka, menggalakkan mereka untuk bertanya, “Apa khabar?”— soalan sederhana yang mampu menyelamatkan jiwa. 

Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru.

(2 Korintus 5:17)

read_more