Nafsu: Apa yang Aku Harap Aku Tahu Lebih Awal

Wahai diriku yang pernah muda,

Kamu baru sahaja mengatakan “ya,” walaupun kamu ragu-ragu dan takut untuk menjalinkan hubungan dengan seseorang. Kamu tertanya-tanya sama ada keputusan itu tepat kerana masih banyak yang kamu tidak tahu tentang dirinya dan masa depan bersamanya menjadi satu persoalan yang besar dalam kepalamu.

Namun, yakinlah: lelaki yang baru sahaja kamu terima ini akan menjadi suami kamu, dan juga bapa kepada anak kamu (ya, kamu—seorang ibu!). Dan ya, dialah “orangnya”!

Menjalin hubungan adalah seperti menaiki rollercoaster—akan ada debaran, perasaan berbunga-bunga, keterujaan jatuh cinta, bertelefon dan berbalas mesej sehingga larut malam, serta dates yang penuh keterujaan.

Tetapi ada satu perkara yang perlu aku ingatkan kepadamu.

Dalam beberapa bulan lagi, kamu akan berhadapan dengan godaan nafsu. Ia akan menjadi pertempuran yang panjang, penuh air mata dan melelahkan sehingga ke hari kamu mengucapkan “Ya, aku terima.” Dan malangnya, sebahagian besar pergelutan ini disebabkan oleh tiga pembohongan tentang seks dan keintiman yang kamu akan—atau sudah—percaya:

1. Pelukan hanyalah sekadar pelukan

Hari ini, untuk pertama kalinya, kamu telah berpegangan tangan dengan kekasih kamu dan tapak tangan kamu berpeluh kerana gugup.

Pada mulanya, ia mungkin terasa seperti satu perkara yang besar. Tetapi seiring waktu, kamu akan mula bertanya: Adakah berpelukan itu okay?  Atau bercium?

Aku harus berterus terang—akan ada banyak kekeliruan dan kompromi dalam bulan-bulan mendatang kerana kamu berdua tidak menetapkan batasan fizikal yang harus dipatuhi.

Walaupun kamu setuju bahawa batasan fizikal itu penting, ia menjadi lebih sukar untuk dipraktikkan apabila kamu dan pasangan mempunyai pandangan yang berbeza tentang sentuhan fizikal. Contohnya, salah seorang daripada kamu mungkin menyukai pelukan kerana itu adalah bahasa cintanya, manakala yang seorang lagi lebih berhati-hati kerana memahami kesan emosi dan godaan fizikal yang mungkin timbul.

Apa yang lebih menyukarkan ialah melihat pasangan lain di sekeliling kamu yang secara terbuka menunjukkan cinta mereka. Jika mereka boleh melakukannya tanpa terjatuh ke dalam dosa, mengapa kita tidak boleh?

Namun, Kidung Agung 8:4 mengingatkan: ” jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya.” Maksudnya, kita tidak harus tergesa-gesa dalam keintiman fizikal dan emosi sehingga membangkitkan nafsu sebelum tiba waktunya yang sesuai.

Dari awal hubungan, bincangkan batasan fizikal yang wajar untuk membimbing kamu berdua sehingga ke hari perkahwinan. Jangan takut untuk membincangkannya walaupun ia terasa janggal kerana ia akan membawa kebaikan. Dan percayalah, dia akan menghormati pandangan kamu—kerana dia tidak mencintai kamu hanya kerana keinginan fizikal sahaja… yang membawa kita ke pembohongan seterusnya.

2. Dia tidak mencintai kamu jika dia tidak menginginkan kamu secara seksual

Tidak lama lagi, kamu mungkin akan mula tertanya-tanya—adakah kekasih kamu benar-benar mencintai kamu jika dia tidak pernah menunjukkan keinginan seksual? 

Fikiran ini akan timbul disebabkan pengalaman hubungan masa lalu, pengaruh rakan bukan Kristian yang berkongsi kisah intim mereka, serta budaya dunia yang menyamakan cinta dengan seks. 

Tetapi ini adalah satu pembohongan besar.

Kekasih kamu tidak cuba melakukannya kerana dia benar-benar mengasihi kamu. Kamu sudah tahu apa 1 Korintus 13:4-7 katakan:

“Kasih itu penyabar dan penyayang…tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri…Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran. Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.”

Bagaimanakah rupa kasih yang takut akan Tuhan dan memuliakan-Nya? menunggu dengan sabar sehingga perkahwinan untuk menikmati keintiman seksual. Ia tidak mementingkan diri sendiri atau mencari kepuasan nafsu semata-mata. Ia tidak suka melakukan dosa dan berjanji untuk selalu melindungi pasangan. 

Kekasih kamu akan membuktikan cintanya kepada kamu bukan melalui keinginan fizikal semata-mata, tetapi dengan kasih yang dibentuk oleh firman Tuhan. Kamu akan melihat ini dalam dirinya yang “cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah,” (Yakobus 1:19). Dia akan rela melindungi dan menjaga kamu seperti menghantar kamu balik walaupun jauh dan bangun jam 3 pagi untuk berdoa dengan kamu (Efesus 5:25-29). Dia akan menjadi pasangan yang setia dengan tidak mengingini orang lain (Ayub 31:1; Matius 5:28)

3. Terlalu susah untuk menunggu

Wahai diriku yang pernah muda, ini mungkin pembohongan yang paling besar yang kamu dan kekasih kamu akan percaya—bahawa menunggu sehingga perkahwinan itu terlalu susah.

Memang benar, semakin lama kamu bersama, semakin kuat keinginan untuk lebih dekat dalam segala aspek. Lagipun, Tuhan menciptakan lelaki dan wanita untuk “menjadi satu daging” dalam perkahwinan (Kejadian 2:24).

Tetapi sebelum hari pernikahan kamu tiba, kamu berdua akan menghadapi pergelutan untuk menahan diri daripada godaan. Tambahan pula, melihat pasangan lain (termasuk yang mengaku Kristian) bercuti bersama dan tinggal sebumbung sebelum berkahwin akan membuat kamu bertanya:

  • “Kita akan berkahwin juga nanti, jadi apa salahnya?” 
  • “Jika mereka boleh melakukannya, mengapa kita tidak boleh?”
  • “Susahnya untuk berpisah setiap malam. Aku harap kita boleh tinggal bersama.”

Sebahagian daripada diri kamu sebenarnya tidak mahu menunggu kerana kamu percaya bahawa ia terlalu sukar untuk menunggu. Semakin kita percaya pembohongan ini, semakin kita mahu memuaskan nafsu dosa kita. Namun, firman Tuhan memberi amaran dalam Yakobus 1:14-15:

“Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.”

Jangan percaya pembohongan dunia. Sebaliknya, Roma 12:1-2 mengajar kita:

” Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar. Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.”

Ingatlah pengorbanan Kristus yang tidak ternilai bagi pihak kita dan renungkanlah belas kasihan Tuhan. Kita harus membalasnya dengan bertaubat, bersyukur, dan beribadah—untuk hidup setiap hari dalam kesucian dan melakukan apa yang akan menyenangkan Bapa syurgawi kita. Inilah juga sebabnya kita perlu berusaha untuk memperbaharui minda kita ” dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya” (Kolose 3:10), dengan membaca dan merenungkan firman Tuhan.

Untuk menghindari pembohongan dunia, kita perlu berpegang pada firman Tuhan yang hidup.

Kehendak-Nya untuk kita adalah mengawal tubuh kita sendiri dan hidup dalam kesucian (1 Tesalonika 4:3-5). Kita harus menganggap perkahwinan itu mulia dan menjaga tempat tidur.  Tuhan akan menghukum mereka yang terlibat dalam perbuatan seksual yang tidak bermoral (Ibrani 13:4), Tuhan itu setia dan Dia akan menyediakan jalan keluar bagi kita ketika kita menghadapi godaan supaya kita dapat menghadapinya (1 Korintus 10:13).

Apabila kita benar-benar memahami kebenaran ini, kita akan melihat bahawa menunggu itu bukan sesuatu yang mustahil. Apabila hari perkahwinanmu tiba, kamu akan bersatu sebagai suami isteri tanpa rasa bersalah dan tanpa penyesalan. Kamu akan mengenang kembali dengan penuh kesyukuran kerana Tuhan telah memberikan kekuatan untuk menang atas godaan.

Apa yang Akan Menyelamatkan Perkahwinan Kamu?

Semasa kami bercinta dulu, seorang kakak berkata, “hubungan seksual boleh menjadi pengalaman yang menyatukan dalam perkahwinan. Tetapi ia bukanlah satu-satunya perkara yang akan memastikan perkahwinanmu bertahan.

Perkahwinan akan menjadi sukar. Ada kalanya sukar melakukan hubungan intim. Kamu akan saling memarahi. Akan ada perbezaan, perselisihan, dan kekecewaan.

Sebuah perkahwinan yang bahagia bukan disebabkan oleh keintiman seksual semata-mata, tetapi disebabkan oleh hubungan rohani dalam Kristus yang mendalam. 

Jadi, ketika kamu memulakan hubungan ini, ingatlah untuk berjuang melawan pembohongan tentang nafsu, menetapkan batasan fizikal yang memuliakan Tuhan dan memohon kekuatan untuk menanti sehingga perkahwinan—supaya suatu hari nanti, kamu akan melihat kembali musim percintaan ini dengan rasa syukur kerana kasih kurnia Tuhan telah memampukan kamu untuk menang atas nafsu.

>>Baca: Batasan dalam Percintaan

Hubungan yang sihat dan memuliakan Tuhan ialah hubungan yang didasarkan pada firman Tuhan. Raja Salomo memberi peringatan kepada puteri-puteri Yerusalem supaya “jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya” (Kidung Agung 2:7, 3:5, AVB) atau sebelum ada ikatan perkahwinan yang sah.  

>>Baca: Mengapakah Tuhan Peduli Tentang Kehidupan Seks Saya?

Sejak permulaan dunia ini, seks merupakan idea Tuhan. Bahagian pertama dalam kisah Kristian menceritakan bahawa Tuhan menciptakan segalanya untuk tujuan yang baik: pelengkap seksual. Kita telah diberitahu bahawa ketika Adam dan Hawa dicipta, mereka dalam keadaan telanjang dan tidak malu kerana ini adalah sebahagian rancangan penciptaan Tuhan.

 


Tentang Penulis
Artikel asal daripada YMI, sebuah pelayanan muda mudi Bahasa Inggeris yang menjangkau anak-anak muda. Diterjemah daripada artikel asal, What I Wish My Younger Self Knew About Lust dan diterbitkan dengan kebenaran.

read_more