Sebuah kesaksian penuh kasih, air mata, dan pengharapan dalam Tuhan — sempena Hari Ibu. 

Aku memuji TUHAN yang telah membimbingku; sesungguhnya pada waktu malam suara hatiku juga mengajarku. Aku sentiasa menurut panduan TUHAN. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah. Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan tenteram dalam harapan, kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput. Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup; di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai, di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya (Mazmur 16:7-11). 

Saya seorang ibu kepada anak kembar yang disahkan menghidap autisme. Saat kami menerima berita itu, seolah-olah dunia menjadi gelap. Hati saya terasa sesak—berat menanggung perasaan yang tidak terungkap. Pertanyaan “mengapa?” terus bermain dalam fikiran saya. “Mengapa ini terjadi kepada kami?” “Apakah dosa yang telah kami lakukan?” “Bagaimana kami harus berdepan dengan pandangan masyarakat, terutama kerana ini sesuatu yang sangat asing dalam persekitaran kami?” 

Perasaan rendah diri mula menghimpit, terutama apabila berhadapan dengan orang-orang sekeliling. Namun saya tahu, saya perlu bangkit—untuk diri sendiri, anak-anak, suami dan keluarga saya. Seperti burung rajawali yang terbang tinggi di tengah badai, saya kembali datang kepada Tuhan untuk mencari kekuatan dan pengharapan dalam kasih-Nya. 

Cabaran Rohani, Emosi dan Fizikal 

Keresahan dalam hati saya dan suami sentiasa ada.

Sepanjang 24 tahun membesarkan mereka, saya dan suami telah melalui pelbagai cabaran. Mereka sangat aktif dan tidak memahami arahan atau pelajaran seperti orang lain. Keresahan dalam hati saya dan suami sentiasa ada. Jika saya tidak melihat mereka walaupun hanya sesaat, hati ini mula dilanda ketakutan. Mereka tidak tahu maksud bahaya dan jika keluar dari rumah, boleh menjadi sesuatu yang sangat membimbangkan. Penjagaan mereka memerlukan perhatian 24 jam sehari. Hidup kami terbatas—tidak seperti keluarga lain yang bebas ke mana sahaja. 

Tetapi Yesus tidak pernah meninggalkan saya dan kami sekeluarga.

Ada suatu masa saya hampir berputus asa. Saya sangat penat, letih secara fizikal dan sangat beremosi. Akibatnya, saya menjadi seorang ibu yang pemarah dan kadangkala melepaskan kemarahan kepada mereka. Saya berasa hampa, seolah-olah semua usaha ini sia-sia. Tetapi Yesus tidak pernah meninggalkan saya dan kami sekeluarga. Dalam doa saya pernah berseru, “Tuhan, jika Engkau memberi kami anak-anak ini, berikanlah aku hati untuk mengasihi mereka. Berikan aku penguasaan emosi. Jangan biarkan mereka menjadi beban kepada orang lain—biarlah kami sendiri yang menanggungnya.” 

Berdoa dan berseru kepada Yesus menjadi kekuatan saya. Yesus, dalam kasih-Nya, menyedarkan saya dan menenangkan emosi saya. 

Melalui perjalanan ini, saya semakin mendekatkan diri kepada Tuhan. Hanya Dia sumber kekuatan saya untuk terus berdiri dan melangkah. Tuhan telah mengajar saya melalui firman-Nya dalam Efesus 5:20 untuk “Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Tuhan kita Yesus Kristus.” 

Sokongan Gereja dan Komuniti 

Saya amat menghargai gereja dan komuniti Kristian yang memahami perjuangan ini. Kehadiran mereka yang menyokong dan tidak menghakimi amat bermakna kerana sebagai ibu bapa kepada anak istimewa, kami kadang kala menjadi rapuh dan rasa tersisih. Antara ketakutan yang dihadapi oleh keluarga yang memiliki anak-anak istimewa adalah penolakan daripada masyarakat dan sikap yang suka mengambil kesempatan ke atas kekurangan anak-anak mereka.  

Kini anak-anak saya sudah dewasa dan menampakkan perubahan seperti menjadi lebih tenang dan tidak agresif seperti dahulu. Mereka juga menunjukkan empati yang mendalam. Ketika saya sakit, mereka akan datang mengusap kepala saya—tindakan kecil yang cukup membuat hati ini tersentuh. 

Secara jujur, seperti ibu yang lain, saya masih terus berdoa dan berharap agar mereka mengalami kesembuhan. Walaupun mustahil bagi manusia, saya percaya pada kuasa Tuhan—kerana bagi-Nya tiada yang mustahil. Namun saya percaya bahawa rancangan Tuhan lebih besar daripada rancangan saya sendiri. Terus mendoakan para ibu atau keluarga yang sedang bergelut dengan tanggungjawab berat ini.  

Pesanan untuk Para Ibu 

Datanglah kepada Tuhan dalam doa setiap kali kamu berasa tidak mampu.

Kepada semua ibu (dan bapa) di luar sana yang sedang bergelut dalam membesarkan anak-anak, khususnya anak-anak istimewa—jangan abaikan tanggungjawab untuk mendidik dan mengasihi. Datanglah kepada Tuhan dalam doa setiap kali kamu berasa tidak mampu. Jangan biarkan emosi menguasai dirimu sehingga kamu kehilangan harapan. Jangan biarkan kegelapan merosakkan masa depanmu, anak-anakmu dan keluargamu.   

Tuhan Yesuslah sumber kasih yang sejati. Dalam Dialah kita akan mendapatkan kekuatan, pengharapan, dan pemulihan. 

 

Baca artikel lain sempena hari ibu ini: Nasihat untuk Ibu | Pedomanharian.org  


Tentang Penulis

Dusiah berasal dari Kota Belud, Sabah. Seorang wanita yang suka melayani Tuhan dan berkhidmat untuk komuniti di kampungnya. Dia dan suami mempunyai lima orang anak lelaki yang dikasihi Tuhan.

 

read_more