Krismas di Kampung

Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan. -Yohanes 10:10

Ingatan saya paling awal tentang Krismas pada masa kecil saya ialah beberapa buah kampung kecil terletak di antara ladang koko dan pokok-pokok mahogani dan kelapa sawit yang tinggi. Kami akan memakai pakaian yang dibeli oleh ibu bapa kami untuk Krismas, kemudian anak-anak yang berusia 8 hingga 10 tahun akan berduyun-duyun dari kampung demi kampung seperti ahli kaji bintang yang mencari Bayi Yesus (Matius 2:1-2).

Kami tidak menemukan Bayi Yesus, tetapi kami menjalinkan persahabatan dan semangat muhibah sesama kami. Kemudian pada hari itu, ibu-ibu kami akan menghantar mangkuk-mangkuk yang berisikan makanan kepada jiran-jiran. Bagi kami di kampung, Krismas merupakan satu masa untuk menyatakan kemurahan hati.

Namun sesuatu telang hilang—cerita Krismas yang asli. Dalam suasana yang meriah, kami terlupa akan sebab utama musim perayaan ini. Tiada gereja di mana-mana satu kampung dan tiada seorang pun yang memberitahu kami mengenai mesej Krismas—Tuhan “sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal untuk menyelamatkan kita” (Yohanes 3:16). Ia ibarat menghadiri sesebuah majlis hari jadi tanpa watak utama hari jadi itu!

Bezanya dengan ahli kaji bintang. Matlamat mereka yang paling utama ialah mencari Yesus: mereka bertanya, “Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi?” (Matius 2:2). Apabila mereka berjaya mencarinya, “mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka … mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya” (ayat 11). Mereka mencarinya dan menyembahnya terlebih dahulu sebelum mempersembahkan hadiah-hadiah mereka.

Sama ada kita ialah kanak-kanak atau dewasa, kebenaran ini tetap sama: Krismas melampaui perayaan dan memfokuskan Kristus. Anak Tuhan datang supaya kita dapat mendapat “hidup, iaitu hidup yang kelimpahan” (Yohanes 10:10). LAWRENCE DARMANI

 

Yesus merupakan sebab bagi musim Krismas ini.

BACAAN HARI INI: Matius 2:1–11

1 Yesus lahir di kota Betlehem di negeri Yudea, pada masa pemerintahan Raja Herodes. Kemudian beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem. 2 Mereka bertanya, “Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi? Kami nampak bintang-Nya terbit di sebelah timur, dan kami datang hendak menyembah Dia.” 3 Apabila mendengar hal itu, Raja Herodes resah gelisah, demikian juga semua penduduk Yerusalem. 4 Raja Herodes mengumpulkan semua ketua imam dan guru Taurat lalu bertanya, “Di manakah Raja yang dijanjikan oleh Allah akan lahir?” 5 Mereka menjawab, “Di kota Betlehem di negeri Yudea. Seorang nabi sudah menuliskan hal itu,6 ‘Hai Betlehem di negeri Yudea, engkau sekali-kali bukanlah yang terkecil antara kota-kota utama di Yudea; Daripadamu akan datang seorang pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ” 7 Kemudian Raja Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan ahli-ahli kaji bintang itu. Daripada mereka, Raja Herodes mengetahui dengan tepat masa bintang itu mula kelihatan. 8 Lalu Raja Herodes menyuruh ahli-ahli kaji bintang itu pergi ke Betlehem dengan perintah berikut, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia.” 9-10 Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. 11 Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya.