Imanuel

Seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel’ (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, “Allah menyertai kita”). -Yesaya 7:14

Saya berbual-bual dengan seorang sahabat yang baru berkahwin dan tidak sabar untuk menjadi ibu bapa. Dia dan isterinya merancang dan mendoakan satu bayi. Mereka sudah pun memilih nama untuk bayi mereka, meskipun isteri sahabat saya belum mengandung pun!

Pada 735 SM, nabi Yesaya mengucapkan nubuat ini kepada bangsa Yehuda yang bergelut secara rohani: “ … seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel’ (yang bermaksud ‘Tuhan menyertai kita’)” (Yesaya 7:14). Yesus telah diberikan nama mahupun 730 tahun sebelum Dia dilahirkan!

Saya pernah mendengar bahawa segala kebenaran mengenai Krismas boleh dikatakan hanya dengan tiga perkataan: “Tuhan menyertai kita.” Kita cenderung memfokuskan perhatian kita pada hari Krismas, kelahiran Yesus sebagai manusia di dunia. Namun fokus yang lebih agung sepatutnya diletakkan pada ketuhanan-Nya—siapa sebenar Dia—“Tuhan menyertai kita.”

Imanuel bermaksud bahawa kita tidak dipinggirkan daripada Tuhan yang duduk di atas takhta yang jauh daripada kita. Dia datang untuk bersama dengan kita. Dia mempunyai kulit manusia dan memakai pakaian manusia. Apabila Yusuf dan Maria memanggil nama anak lelaki mereka, ia merupakan suatu peringatan bahawa Tuhan berada di rumah—benar-benar hidup bersama di rumah dengan mereka.

Adakah anda keseorangan? Berasa ketakutan? Pernahkah anda berasa bahawa Tuhan adalah sangat jauh daripada anda, memandang anda dengan muka yang tegas dari jauh? Mesej pada hari Krismas adalah anda tidak perlu keseorangan lagi, kerana Yesus sudah datang. Imanuel. Tuhan menyertai kita. K. T. SIM

Imanuel—Tuhan menyertai kita!

BACAAN HARI INI: Yesaya 7:10-14

10 TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas. 11 “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.” 12 Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.” 13 Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. Tidak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga? 14 Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’