Krismas Di Ukraine

Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya! -Lukas 2:14

Orang di Ukraine merangkumi banyak elemen yang indah apabila mereka meraikan Krismas. Kadangkala himpunan jerami yang kecil akan diletakkan di atas meja makan sebagai peringatan tentang palung di Betlehem. Sambutan mereka juga akan menggemakan peristiwa pada malam itu apabila Penyelamat datang ke dunia ini. Doa Krismas akan dibuat, kemudian bapa dalam keluarga itu mengucapkan salam dengan berseru, “Kristus dilahirkan!” Semua anggota keluarga pun menjawab, “Marilah kita memuliakan Dia!”

Perkataan-perkataan ini memimpin minda kita memikirkan kemunculan malaikat-malaikat di langit di Betlehem pada waktu malam Kristus dilahirkan. Malaikat Tuhan mengisytiharkan, “Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:11). Sepasukan besar malaikat syurga memuji-muji Tuhan, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” (ayat 14).

Kedua-dua mesej ini memberikan makna yang begitu mendalam pada setiap waktu yang begitu indah ini. Penyelamat telah datang untuk memberikan pengampunan dan pengharapan—Dia layak menerima segala penyembahan daripada kami.

“Termulialah Allah di langit yang tertinggi!” BILL CROWDER

Kemuliaan kasih Tuhan bagi kita yang begitu luar biasa telah dinyatakan melalui kedatangan Yesus.

BACAAN HARI INI: Lukas 2:6–14

6 Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. 8 Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. 9 Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. 10 Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. 11 Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. 12 Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” 13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, 14 “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!”