Krismas Menyambut Anda

Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang. -Yesaya 9:1

Di Wilayah Pampanga di Luzon, Filipina, anda akan menemukan San Fernando. Di bandar yang bersejarah ini, Perayaan Tanglung Besar menonjolkan contoh tradisi Krismas orang Filipina yang unggul—paróls. Dengan hanya menggunakan buluh, kertas warna, dan lilin, artis-artis yang berbakat menciptakan tanglung-tanglung berbentuk bintang yang menakjubkan untuk meraikan kelahiran Kristus.

Orang Filipina di seluruh dunia telah menyebarkan tradisi Krismas ini di kejiranan subbandar, perniagaan di jalan-jalan utama, dan kondo yang bertingkat tinggi. Anda juga akan melihat paróls berkelip-kelip di rumah kaki bajang yang paling sederhana di barangays (kampung-kampung) yang paling terpencil di Filipina. Walaupun semua tempat ini adalah amat berbeza, suasana Krismas yang penuh sukacita tetap sama.

Pada masa dahulu, di lereng bukit luar bandar, gembala-gembala yang “menetap di padang-padang” melihat satu fenomena yang menakjubkan. “Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, ‘Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!’ ” (Lukas 2:13-14).

Paról melambangkan bintang di Betlehem yang menujukan ahli kaji bintang untuk membawa hadiah ke arah Cahaya dunia ini. Ahli kaji bintang yang kaya dan gembala-gembala yang tiada tempat tinggal sama-sama disambut. Sebagaimana nabi bernubuat, “Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang” (Yesaya 9:1). Cahaya ini adalah bagi semua orang. TIM GUSTAFSON

Cahaya yang dibawa oleh Kristus akan menerangi masa kegelapan kita.

BACAAN HARI INI: Lukas 2:13–20

13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, 14 “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” 15 Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” 16 Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. 17 Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. 18 Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. 19 Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. 20 Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat.