Pada zaman Perjanjian Lama, kehidupan kelihatan cukup mudah—sekiranya mereka menuruti hukum dan peraturan. Jika anda taat kepada Tuhan, maka anda akan diberkati. Jika anda memberontak, maka anda bakal menemukan masalah. Ini merupakan teologi yang cukup senang untuk diterima. Namun adakah kehidupan semudah itu?

Kisah Raja Asa seakan-akan menggambarkan teologi tersebut. Dia memimpin rakyatnya berpaling daripada dewa-dewa palsu dan kerajaannya menjadi makmur (2 Tawarikh 15:1-19). Kemudian pada akhir pemerintahannya, dia mula bergantung kepada kekuatan sendiri dan bukan Tuhan (16:2-7). Justeru, sisa hidupnya diselubungi oleh peperangan dan penyakit (ayat 12).

Ini amat mudah untuk membuat satu kesimpulan setelah membaca kisah ini. Namun apabila nabi Hanani memberi amaran kepada Asa, dia berkata bahawa “TUHAN sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya” (16:9). Mengapakah kita perlu dikuatkan? Hal ini kerana melakukan perkara yang betul menuntut keberanian dan ketekadan.

Ayub ialah watak Alkitab yang menghadapi paling banyak tragedi. Adakah dia telah melakukan dosa? Tuhan berkata Ayub seorang yang “… setia dan baik” (Ayub 1:8). Yusuf difitnah untuk percubaan merogol, menderita di penjara selama bertahun-tahun—demi melaksanakan kehendak Tuhan yang baik (Kejadian 39:19-23; 40; 41:1). Yeremia juga dipukul dan dirantai (Yeremia 20:2). Apakah “kesalahan” nabi tersebut? Dia hanya memberitakan kebenaran kepada rakyat yang memberontak terhadap Tuhan (26:15).

Kehidupan bukannya mudah, dan jalan Tuhan bukan jalan kita. Untuk membuat keputusan yang betul, ini mungkin menuntut pengorbanan. Namun dalam rancangan Tuhan yang kekal, berkat-Nya akan datang tepat pada masanya.