Ia hanyalah serpihan kayu, tetapi Charles Hooper melihat nilai dalam kayu itu. Mula-mula dia membuat lakaran pelan yang mudah, agar menyelamatkan kayu lama itu dari gedung jagung yang sudah lama dibiarkan. Kemudian dia menumbangkan beberapa pokok oak dan poplar dari hutan kayunya dan dengan teliti dia memotong kayu-kayu itu menjadi empat segi, dengan menggunakan kapak besar datuknya. Satu demi satu, dia mula memadan-kan kayu yang lama dengan yang baharu.
Hari ini, anda boleh melihat pondok kayu balak Charles dan Shirley Hooper yang begitu sempurna, seolah-olah melihat gambar dalam poskad, tersembunyi dalam pokok-pokok di Tennessee Ridge. Separuh rumah tamu, separuh muzium untuk pusaka keluarga, struktur itu berdiri sebagai satu tanda tahan lama kepada visi, kemahiran dan kesabaran Charles.
Ketika Paulus menulis kepada pembaca bukan Yahudi, dia memberitahu jemaah di Efesus bahawa Yesus sedang mencipta sesuatu yang baharu dengan menyatukan orang percaya Yahudi dan orang bukan Yahudi sebagai satu entiti. Paulus menulis, “kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus” (Efesus 2:13). Struktur baharu ini telah “dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan” (ayat 20-21).
Kerja itu berlanjutan hingga hari ini. Tuhan mengambil kehancuran hidup kita, dengan penuh seni membina dan menyatukan kita dengan orang lain yang juga mengalami kehancuran dan diselamatkan, dan dengan sabar menghaluskan sikap dan kebiasaan kita yang kasar. Dia mengasihi karya-Nya, tahukah anda?