Seorang kawan bergelut dengan kesepian ketika dia menuliskan kata-kata ini dalam halaman Facebooknya: “Rasa kesepian saya bukan disebabkan saya tidak ada kawan. Saya ada ramai kawan. Saya tahu bahawa saya mempunyai orang yang boleh memeluk, meyakinkan, berbual dan menjaga saya, serta memikirkan tentang saya. Tetapi mereka tidak boleh bersama saya sepanjang masa—untuk kebanyakan masa.”

Yesus memahami jenis kesepian ini. Saya dapat membayangkan bahawa semasa pelayanan-Nya di dunia, Dia melihat kesepian dalam mata orang yang berpenyakit kusta dan mendengarkan seruan mereka dalam suara orang buta. Namun di atas segalanya, Dia sendiri pasti telah mengalaminya ketika sahabat-sahabat karib meninggalkan-Nya (Markus 14:50).

Bagaimanapun, sebagaimana Dia menubuat bahawa para pengikut-Nya akan meninggalkan-Nya, Dia juga mengaku keyakinan-Nya yang tidak akan goncang di hadapan Bapa-Nya. Dia berkata kepada para pengikut-Nya: “Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku (Yohanes 16:32). Tidak lama selepas Yesus mengatakan kata-kata tersebut, Dia memikul salib untuk kita. Dia memungkinkan anda dan saya mempunyai hubungan yang diperbaharui dengan Tuhan dan menjadi ahli keluarga-Nya.

Sebagai manusia, kita akan mengalami masa kesepian. Tetapi Yesus menolong kita memahami bahawa kita sentiasa boleh merasakan Bapa bersama kita. Tuhan itu maha hadir dan kekal. Hanya Dia yang boleh bersama kita sepanjang masa, selama-lamanya.