Pada 6 Jun 1944, tiga orang pegawai Amerika berlonggok dalam kawah bom di Pantai Utah di Normandy, Perancis. Ketika mereka menyedari bahawa arus laut telah membawa mereka ke tempat yang salah di pantai itu, ketiga-tiga orang itu membuat satu keputusan dengan segeranya: “Kita akan mulakan peperangan dari sini juga.” Mereka perlu bergerak maju dari titik permulaan yang sukar.
Saulus mendapati dirinya berada dalam keadaan yang sukar, yang dia perlu membuat keputusan selepas dia menemui Yesus di jalan menuju ke Damsyik (Kisah Rasul-Rasul 9:1-20). Tiba-tiba, kedudukan dan arah hidupnya didedahkan sebagai suatu kesilapan, malahan hidupnya sebelum itu seolah-olah sia-sia. Dia menghadapi kesukaran untuk bergerak maju, malah dia perlu berusaha keras dan melakukan kerja yang tidak menyenangkan, bahkan barangkali menghadapi keluarga-keluarga umat Kristian yang hidupnya telah dicerai-beraikannya. Namun dia menjawab, “Tuhan, adakah yang Engkau mahu saya lakukan?” (ayat 6)
Kita sering mendapati diri kita berada di tempat yang tidak disangka, tempat yang tidak pernah dirancang dan yang tidak pernah kita inginkan. Mungkin kita ditenggelami hutang, terhalang oleh sekatan-sekatan fizikal, atau menderita akibat-akibat dosa. Sama ada Kristus menemui kita pada hari ini di sel penjara atau di istana, sama ada Dia menemui kita dalam keadaan yang teruk dan miskin, atau dikuasai oleh keegoan, Alkitab memberitahu kita supaya kita mendengar nasihat Paulus untuk melupakan apa yang di belakang dan bergerak maju ke arah Kristus (Filipi 3:13-14). Perkara-perkara yang sudah berlalu tidak akan menjadi halangan untuk bergerak maju bersama-sama Dia.
