Di sebuah taman berdekatan rumah saya, saya suka berjalan di atas suatu laluan. Di sepanjang satu bahagian, terdapat satu pemandangan panorama yang mempunyai batu pasir kemerah-merahan di Garden of the Gods (sebuah taman awam di Colorado, Amerika Syarikat), dengan gunung Pikes Peak yang hebat dan agung serta setinggi 4300 meter di belakangnya. Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, saya mendapati saya berjalan di bahagian itu dengan memikirkan masalah saya, sambil melihat ke bawah laluan yang lebar dan licin itu. Jika tiada sesiapa di sekeliling, mungkin saya akan berhenti dan menyeru, “David, pandanglah ke atas!”
Mazmur yang dikenali sebagai “Lagu Ziarah/Pendakian” (Mazmur 120-134) dinyanyikan oleh orang Israel semasa mereka berjalan naik ke Yerusalem untuk menghadiri tiga perayaan tahunan. Mazmur 121 bermula dengan kata, “Aku memandang ke arah pergunungan; dari manakah datangnya pertolonganku?” (ayat 1). Jawapan yang berikutannya, “Pertolonganku datang daripada TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi” (ayat 2). Pencipta kita tidak dingin, sebaliknya Dia seorang teman yang sentiasa bersama dengan kita, sentiasa mengetahui dan sedar akan kesusahan-kesusahan kita (ayat 3-7), membimbing dan menjaga perjalanan kita melalui kehidupan “dari sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).
Sepanjang jalan hidup, kita amat perlu menetapkan pandangan kita pada Tuhan, sumber pertolongan kita. Ketika kita berasa letih dan kecewa, tidak mengapalah kalau kita menyeru, “Pandanglah ke atas!”