Laura memuatkan seekor kambing dan domba yang dipinjam ke dalam treler untuk raptai pertunjukan tentang kelahiran Yesus Kristus di gereja. Haiwan itu menyondol dan mengejar satu sama lain kemudian duduk diam. Laura pun mula menuju ke gereja tetapi dia harus berhenti untuk mengisi minyak kereta terlebih dahulu.
Ketika dia mengepam minyak kereta, dia mendapati kambing itu berdiri di tempat letak kereta! Domba itu telah hilang! Rupanya semasa dia memasukkan kambing dan domba ke dalam treler, dia terlupa mengunci salah satu selak-selak. Laura menelefon polis dan beberapa orang kawannya mencari domba itu dengan tergopoh-gapah di sepanjang beberapa kedai, ladang jagung dan hutan pada waktu hari masih siang. Ramai orang mendoakan agar dia boleh menemukan haiwan yang dipinjam itu.
Pagi berikutnya, Laura dan seorang kawan keluar untuk melekatkan risalah-risalah tentang “Domba Hilang” di kedai-kedai tempatan. Tempat pertama mereka ialah stesen minyak. Seorang pelanggan terdengar mereka sedang bertanya kepada juruwang tentang risalah itu lalu berkata, “Saya rasa saya tahu di mana domba kamu!” Ia telah merayau di ladang jirannya, maka dia pun menempatkan domba itu di dalam kandangnya pada malam tersebut.
Tuhan mengambil berat terhadap domba yang hilang—termasuk anda dan saya. Yesus datang dari syurga ke bumi untuk menunjukkan kita kasih-Nya dan menyediakan penyelamatan (Yohanes 3:16). Dia mencuba sedaya upaya untuk mencari dan menyelamatkan kita (Lukas 19:10).
Apabila domba itu ditemui, Laura menamakannya Miracle (Mukjizat). Penyelamatan Tuhan untuk kita adalah suatu mukjizat daripada rahmat-Nya.