Baru-baru ini cucu lelaki saya, Dallas, yang berumur 5 tahun bertanya, “Kenapa Yesus mati pada salib?” Jadi kami pun berbual -bual topik ini. Saya menjelaskan tentang dosa dan kerelaan Yesus untuk menjadi korban kita. Kemudian dia pun pergi bermain.

Beberapa minit kemudian, saya terdengar dia bercakap dengan sepupunya, Katie yang berumur 5 tahun, dan menjelaskan sebab Yesus mati. Katie berkata kepadanya, “Tapi Yesus tidak mati.” Dallas menjawab, “Ya, Dia sudah mati. Datuk yang kata Yesus mati pada salib.”

Saya menyedari bahawa saya belum lagi menceritakan keseluruhan kisah itu. Jadi kami berbual-bual lagi. Saya menjelaskan kepada Dallas bahawa Yesus bangkit daripada kematian. Kami menceritakan kisah itu lagi sehingga dia faham bahawa Yesus hidup hari ini, walaupun Dia pernah mati untuk kita.

Ia adalah satu peringatan bahawa orang perlu mendengar keseluruhan Injil. Apabila seorang lelaki dari Etiopia bertanya kepada Filipus tentang bahagian Alkitab yang tidak difahaminya, Filipus “mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus” (Kisah Rasul-Rasul 8:35).

Khabarkanlah berita baik tentang Yesus ini kepada orang lain: bahawa kita semua adalah orang yang berdosa dan memerlukan penyelamatan; Anak Tuhan yang sempurna itu mati untuk menyelamatkan kita; dan Dia bangkit dari kubur, menunjukkan Dia berkuasa atas kematian. Yesus, Penyelamat kita, adalah hidup dan sekarang Dia menawarkan hidup-Nya disalurkan melalui kita.

Apabila seseorang hendak mengetahui tentang Yesus, pastikan kita memberitahukan dia keseluruhan tentang kisah-Nya.