Semasa saya belajar di sekolah rendah di Ghana, Afrika, saya harus tinggal bersama dengan keluarga yang prihatin dan penyayang, tetapi jauh daripada ibu bapa saya. Pada suatu hari, semua kanak-kanak berhimpun untuk pertemuan keluarga khusus. Bahagian pertama melibatkan kami semua berkongsi pengalaman masing-masing. Namun berikutnya, apabila hanya “anak-anak kandung” dikehendaki hadir, saya dengan sopan dikecualikan. Kemudian saya tersedar akan kenyataan sebenar ini: Saya bukan seorang “anak keluarga.” Walaupun mereka sayangkan saya, keluarga itu harus mengecualikan saya kerana saya hanya tinggal bersama-sama mereka; saya bukan anggota yang sah dalam keluarga mereka.

Peristiwa ini mengingatkan saya akan Yohanes 1:11-12. Anak Tuhan datang kepada umat-Nya sendiri dan mereka menolak Dia. Mereka yang menerima Dia dahulu, dan menerima Dia sekarang, diberi hak menjadi anak-anak Tuhan. Apabila kita diangkat ke dalam keluarga-Nya, “Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah” (Roma 8:16).

Yesus tidak mengecualikan sesiapa pun yang diambil menjadi anak angkat oleh Bapa. Sebaliknya, Dia mengalu-alukan kita sebagai anggota yang kekal dalam keluarga-Nya. “Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah” (Yohanes 1:12).