Penemuan penisilin merevolusikan penjagaan kesihatan. Sebelum tahun 1940-an, jangkitan bakteria sering membawa maut. Sejak itu, penisilin telah menyelamatkan nyawa yang tidak terkira banyaknya dengan membunuh bakteria yang berbahaya. Orang yang mengiktiraf potensi penisilin dan mengembangkannya untuk kegunaan meluas telah memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1945.

Lama sebelum penemuan penisilin, pembunuh senyap yang lain bekerja untuk menyelamatkan nyawa dengan memusnahkan bakteria. Pembunuh senyap ini ialah sel-sel darah putih. Pekerja yang bekerja keras inilah cara Tuhan melindungi kita daripada penyakit. Tiada sesiapa yang tahu berapa banyak serangan yang dihentikan atau berapa banyak nyawa diselamatkan oleh sel darah putih. Sel darah putih menerima pengiktirafan sedikit sahaja untuk semua kebaikan yang dilakukan.

Tuhan juga diperlakukan dengan cara yang sama. Dia sering dipersalahkan apabila ada masalah, tetapi Dia jarang mendapat pujian untuk semua perkara yang berjalan lancar. Setiap hari orang bangun, berpakaian, memandu ke tempat kerja atau sekolah atau kedai runcit, dan selamat kembali kepada keluarga mereka. Tiada sesiapa yang tahu berapa kali Tuhan telah melindungi kita daripada bahaya. Tetapi apabila terdapat satu tragedi, kita bertanya, “Di manakah Tuhan?”

Apabila saya memikirkan segala perkara mulia yang dilakukan Tuhan dengan senyap bagi pihak saya setiap hari (Yesaya 25:1), saya melihat senarai pujian saya lebih panjang daripada senarai permohonan doa saya.