Mary suka menghadiri pertemuan pertengahan minggu di gerejanya. Pada masa itu dia dan beberapa kawan berkumpul untuk berdoa, menyanyi, dan membincangkan soalan berdasarkan khutbah minggu sebelumnya. Pada minggu ini mereka akan berbincang tentang perbezaan antara “pergi” ke gereja dan “menjadi anggota” gereja di dunia yang menyakitkan. Dia sangat ingin berjumpa dengan rakan-rakannya dan mengadakan perbincangan yang bersemangat.
Ketika mengambil kunci keretanya, loceng pintu berbunyi. “Saya minta maaf mengganggu kamu,” kata jirannya Sue, “tetapi adakah masa lapang kamu pagi ini?” Mary baru hendak mengatakan bahawa dia akan keluar, apabila Sue meneruskan, “Saya perlu menghantar kereta saya ke bengkel. Biasanya saya berjalan atau berbasikal untuk pulang, tetapi belakang saya tercedera dan tidak boleh melakukan apa-apa pada masa ini.” Mary teragak-agak untuk beberapa saat, lalu tersenyum. “Saya ada masa,” katanya.
Mary mengenali jirannya hanya dengan rupa. Tetapi semasa Mary menghantarnya pulang, dia mengetahui tentang perjuangan suami Sue dengan penyakit demensia dan keletihan Sue sebagai seorang penjaga. Mary mendengar, bersimpati, dan berjanji untuk berdoa baginya. Mary menawarkan bantuan dalam apa pun cara yang termampu.
Mary tidak pergi ke gereja pada pagi itu untuk berkongsi kesaksiannya. Sebaliknya, dia memberikan sedikit kasih Yesus kepada jirannya yang berada dalam keadaan sukar.