Ayah saya cedera parah apabila peluru mengena kakinya. Ketika itu dia seorang leftenan muda yang memimpin pasukannya berkhidmat di Bukit 609 di Afrika Utara semasa Perang Dunia II. Sejak itu ayah saya tidak pernah mengalami kesembuhan 100 peratus secara fizikal. Saya dilahirkan beberapa tahun selepas kejadian ini, dan sewaktu kecil saya tidak tahu yang dia telah cedera. Saya mengetahui hal ini kemudian apabila seseorang memberitahu saya. Walaupun dia tetap merasa kesakitan pada kakinya, ayah saya tidak pernah merungut tentang hal itu, dan dia tidak pernah menggunakannya sebagai alasan tidak memberi nafkah untuk keluarga kami.
Ibu bapa saya mengasihi Penyelamat dan membesarkan kami untuk mengasihi, mempercayai, dan melayani Dia. Ketika melalui masa yang baik dan buruk, mereka hanya percaya kepada Tuhan, bekerja keras, dan menyayangi kami tanpa syarat. Amsal 14:26 menyatakan bahawa “Hormat dan takut kepada TUHAN memberi seseorang serta keluarganya keyakinan dan keselamatan.” Ayah saya melakukan itu untuk keluarga kami. Tidak kira apa pun kesukaran yang dihadapinya, dia menyediakan tempat yang selamat untuk kami secara rohani, emosi dan fizikal.
Kita sebagai ibu bapa boleh menyediakan tempat yang selamat untuk keluarga kita dengan bantuan Bapa syurgawi kita yang sempurna, dan kasih-Nya untuk anak-anak-Nya adalah mendalam dan kekal.
Dalam cara apa anda boleh memuliakan Dia dalam kehidupan keluarga anda?