Jarang sekali ada musim yang bebas daripada masalah dalam hidup kita, tetapi kadang-kadang serangan hebat itu menakutkan.

Seluruh keluarga Rose, kecuali dua orang anak perempuannya yang masih kecil, dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada tahun 1994. Sekarang dia seorang balu di kalangan banyak balu dengan sedikit wang. Tetapi dia enggan mengalah. Dia telah mengambil dua anak yatim sebagai anak angkat dan hanya mempercayai Tuhan untuk menyediakan makanan dan yuran sekolah bagi lima orang dalam keluarganya. Dia menterjemah risalah Kristian ke dalam bahasa tempatan dan menganjurkan perkumpulan tahunan untuk balu-balu yang lain. Rose menangis sementara dia menceritakan kisahnya kepada saya. Tetapi bagi setiap masalah dalam hidupnya dia mempunyai satu ubat yang sederhana. “Untuk ini,” katanya, “Saya mempunyai Yesus.”

Tuhan mengetahui dengan tepat apa yang anda hadapi hari ini. Yesaya mengingatkan kita bahawa pengetahuan Tuhan tentang kita begitu intim, seolah-olah nama kita ditulis pada kedua-dua telapak tangan-Nya (Yesaya 49:16). Kadang-kadang kita mengabaikan keperluan orang lain, bahkan orang yang paling dekat dengan kita, tetapi Tuhan mengetahui setiap perincian kehidupan kita. Dia juga telah memberikan kita Roh-Nya untuk membimbing, menghibur, dan menguatkan kita.

Fikirkan cabaran-cabaran yang anda hadapi pada masa ini, kemudian tuliskan kata-kata ini di sebelah setiap satu sebagai peringatan akan kesetiaan dan kepedulian-Nya: “Untuk ini, saya mempunyai Yesus.”