Pada suatu petang, saya sedang berbincang tentang penyalahgunaan nama Tuhan dengan seorang kawan yang saya anggap sebagai mentor rohani. “Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat,” hukum ketiga mengatakan (Keluaran 20:7). Kita mungkin berfikir bahawa hal ini berkaitan dengan menggunakan nama Tuhan dalam perkataan sumpah atau menggunakannya secara tidak serius dan tidak hormat. Mentor saya jarang melepaskan peluang untuk mengajar saya tentang iman sebenar. Dia mencabar saya untuk berfikir tentang cara-cara lain yang kita menyalahgunakan nama Tuhan.
Apabila saya menolak nasihat orang lain, dan berkata, “Tuhan meminta saya mengikut jalan ini,” saya menyalahgunakan nama-Nya sekiranya apa yang saya buat adalah mewajarkan kehendak diri sendiri.
Apabila saya menggunakan Alkitab di luar konteks, hanya untuk menyokong suatu cadangan, saya sudah menggunakan nama Tuhan dengan sia-sia.
Apabila saya mengajar, menulis atau bercakap mengenai Alkitab secara melulu, saya menyalahgunakan nama-Nya.
John Piper, seorang penulis telah memberi renungan tentang apa maksudnya menggunakan nama Tuhan dengan sia-sia: “Ideanya adalah … ‘jangan asingkan nama.’ … Jangan asingkan Tuhan daripada kebesaran dan kemuliaan-Nya.” Kita menyalahgunakan nama-Nya, kata Piper, apabila kita “bercakap mengenai Tuhan dengan cara yang mengasingkan Dia daripada kepentingan-Nya.”
Kawan saya mencabar saya memuliakan nama Tuhan dan menumpukan lebih banyak perhatian dalam menggunakan firman-Nya dengan lebih berhati-hati dan tepat. Sekiranya kita tidak melakukan sedemikian, ini bermakna kita tidak menghormati Dia.