Seperti kebanyakan kanak-kanak, saya sangat menikmati hari Krismas. Dengan penuh harapan, saya akan curi-curi melihat hadiah di bawah pokok Krismas untuk melihat mainan-mainan yang bakal saya miliki. Namun saya menjadi kecewa apabila saya mula mendapat hadiah-hadiah seperti baju kemeja dan seluar. Hadiah untuk orang dewasa sama sekali tidak menarik! Pada Krismas tahun lalu, anak-anak saya menghadiahkan sarung kaki yang berwarna terang dan mempunyai corak menyerlah. Saya berasa seperti muda kembali! Orang dewasa pun boleh memakai sarung kaki tersebut, kerana labelnya menyatakan bahawa: “Satu saiz untuk semua.”
Frasa menyenangkan itu “satu saiz untuk semua” mengingatkan saya tentang hadiah Krismas yang terbaik—berita baik bahawa Yesus adalah untuk semua orang. Hal ini terbukti apabila jemputan pertama yang dihantar oleh koir malaikat adalah kepada para gembala domba yang merupakan orang yang berperingkat paling rendah dalam masyarakat. Berita ini kemudiannya disampaikan kepada orang penting—iaitu orang bijaksana serta kaya—mereka mengikuti bintang di langit untuk datang kepada Yesus serta menyembah Dia.
Selepas Yesus memulakan pelayanan-Nya, seorang ahli berpengaruh dari majlis pemerintah Yahudi datang kepada-Nya pada waktu malam. Sementara mereka berbual, Yesus menjemput “setiap orang yang percaya” untuk datang kepada-Nya. Dengan sikap beriman ini, Kristus memberikan kehidupan kekal kepada mereka yang percaya kepada-Nya (Yohanes 3:16).
Sekiranya Yesus hanya untuk mereka yang miskin dan tidak penting, atau untuk orang yang terkenal dan bernasib baik sahaja, ramai di antara kita mungkin tidak layak. Namun Kristus adalah untuk semua orang, tidak mengira status, situasi kewangan, atau kedudukan sosial. Dia ialah satu-satunya hadiah yang paling sesuai untuk semua orang.