Semasa musim salji paling sejuk melanda kawasan kami di Michigan, Amerika Syarikat, terdapat banyak emosi bercampur tentang keadaan cuaca itu. Sementara musim sejuk berlarutan sehingga bulan Mac, ramai orang sudah mula membenci salji dan asyik mengeluh tentang berita cuaca yang melaporkan bahawa musim salji akan berpanjangan.
Namun, keindahan agung pada salji tersebut masih mengagumkan saya. Walaupun saya harus menyodok salji yang turun tanpa berhenti-henti serta menutupi jalan masuk menuju ke rumah saya, saya terpesona melihat benda putih itu. Pada suatu hari, ais halus berbentuk kristal jatuh perlahan-lahan dari langit ke arah timbunan salji lama. Apabila saya dan isteri saya berjalan melalui pemandangan berkilauan ini, ia kelihatan seperti serbuk berlian telah ditabur ke atas landskap itu.
Dalam Alkitab, salji mempunyai beberapa kegunaan. Tuhan menghantarnya sebagai penunjuk tentang kebesaran kreatif-Nya (Ayub 37:6; 38:22-23). Puncak gunung yang dilitupi salji mengairi lembah gersang di bawahnya. Tetapi lebih penting lagi, Tuhan memberikan salji sebagai gambaran pengampunan kita. Berita Baik Yesus menyediakan jalan bagi kita untuk dibersihkan daripada dosa kita, supaya hati kita menjadi “putih seperti salji” (Mazmur 51:9; Yesaya 1:18).
Apabila anda melihat salji—sama ada ia adalah nyata atau dalam gambar—berterima kasihlah kepada Tuhan atas pengampunan-Nya serta kebebasan daripada hukum dosa yang diberikan kepada kita sehingga gambaran salji yang indah ini dapat dilihat untuk semua orang yang meletakkan kepercayaan dalam Penyelamat kita.