“Kadang-kadang saya rasa Tuhan seolah-olah tidak mendengarkan saya.” Kata-kata itu diluahkan oleh seorang wanita yang berusaha untuk teguh dalam perjalanannya dengan Tuhan sementara menghadapi suaminya yang ketagihan arak. Kata-kata itu juga menggemakan seruan hati ramai orang percaya. Selama bertahun-tahun, dia meminta Tuhan untuk mengubah suaminya. Namun, hal ini tidak pernah berlaku.
Apakah yang patut kita fikirkan apabila kita berulang kali memohon kepada Tuhan untuk sesuatu yang baik—sesuatu yang dengan mudah dapat memuliakan Dia—tetapi jawapannya tidak datang? Adakah Dia mendengar atau tidak?
Marilah kita melihat kehidupan Penyelamat. Di taman Getsemani, Dia berdoa dan menderita selama berjam-jam, mencurahkan hatinya dan memohon, “Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku!” (Matius 26:39). Namun jawapan Bapa adalah jelas—“Tidak.” Untuk memberi penyelamatan, Tuhan perlu mengutus Yesus untuk mati di kayu salib. Walaupun Yesus merasakan seolah-olah Bapa-Nya telah meninggalkan-Nya, Dia berdoa dengan gigih dan bersemangat kerana Dia percaya bahawa Tuhan mendengar.
Apabila kita berdoa, kita tidak dapat melihat cara Tuhan bekerja atau memahami Dia akan membawa pengakhiran yang baik melalui segala-galanya itu. Oleh itu, kita perlu percaya kepada-Nya. Kita melepaskan hak kita dan membenarkan Tuhan berbuat apa yang terbaik.
Kita mesti menyerahkan apa yang tidak dapat diketahui kepada Dia yang Maha Tahu. Dia mendengar dan bekerja mengikut jalan-Nya.