Rumah saya terletak di sepanjang tebing sungai kecil di lurah yang dibayangi oleh sebuah gunung yang besar. Semasa salji musim bunga mencair dan selepas hujan lebat, aliran ini mengembang bertukar menjadi sebatang sungai yang besar. Ada orang pernah mati lemas di dalamnya. Suatu hari, saya telah mengesan asal anak sungai itu sampai ke sumber mata airnya, suatu medan salji di puncak gunung. Salji mula mencair dari situ dan mengalir turun, melalui perjalanan yang jauh ke bawah gunung, bergabung dengan anak-anak sungai dan membentuk sebatang sungai kecil di bawah rumah saya.
Hal ini terlintas dalam fikiran saya mengenai doa, bahawa banyak kali saya mendapat arah yang salah. Saya bermula dari hilir dengan membawa kebimbangan saya sendiri kepada Tuhan. Saya memberitahu Tuhan, seolah-olah Tuhan belum mengetahui-nya. Saya merayu kepada Tuhan, berharap untuk mengubah fikiran-Nya dan berharap Dia menjawab permintaan saya. Sebenarnya, saya patut bermula dari hulu sungai, punca pengaliran mata air.
Apabila kita beralih arah, kita menyedari bahawa Tuhan telah mengambil berat kebimbangan kita—penyakit kanser orang yang tersayang, keluarga yang hancur, anak remaja yang suka melawan—lebih daripada yang kita fikirkan. Bapa kita tahu apa yang kita perlukan (Matius 6:8).
Rahmat Tuhan, seperti air, turun ke bahagian yang paling rendah. Arus belas kasihan-Nya juga mengalir. Oleh itu, kita patut berdoa kepada Tuhan terlebih dahulu dan bertanya peranan yang kita boleh mainkan dalam pekerjaan-Nya di bumi ini. Dengan titik permulaan baharu bagi doa ini, persepsi kita berubah. Kita memandang alam semula jadi dan akan melihat karya Artis agung. Kita memandang manusia dan melihat takdir kekal individu yang diciptakan dalam imej Tuhan. Malah kesyukuran dan pujian kepada Tuhan akan selalu meluap dalam hati kita.