“Semua orang melakukannya,” kedengaran seperti suatu hujah yang tidak perlu dipertikaikan lagi ketika saya masih muda, tetapi bukanlah demikian. Ibu bapa saya tidak pernah mengalah terhadap rayuan saya walaupun betapa desaknya saya memohon keizinan untuk melakukan sesuatu yang mereka anggap tidak selamat atau tidak bijak.

Ketika kita semakin dewasa, kita menambah alasan dan kewajaran kepada senarai hujah kita untuk mengikut kehendak hati kita: “Tidak ada orang akan terluka.” “Ia bukan haram.” “Dia yang berbuat salah terhadap saya terlebih dahulu. “Dia tidak akan tahu.” Di belakang setiap hujah ada kepercayaan bahawa apa yang kita inginkan adalah lebih penting daripada segala sesuatu.

Akhirnya, cara pemikiran yang salah ini menjadi dasar bagi kepercayaan kita mengenai Tuhan. Salah satu pembohongan yang kita kadang-kadang pilih untuk percaya adalah, kita ialah pusat alam semesta ini, bukan Tuhan. Kita berfikir bahawa kita akan menjadi ceria dan berasa gembira hanya apabila kita mengatur semula dunia ini mengikut keinginan kita. Dusta ini meyakinkan kerana ia menjanjikan cara yang jauh lebih mudah dan cepat untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Pembohongan ini berhujah, “Tuhan adalah kasih, maka Dia mahu saya melakukan apa sahaja yang akan membuat saya gembira.” Tetapi cara pemikiran ini mendatangkan sakit hati, bukan kebahagiaan.

Yesus berkata kepada orang yang percaya kepada-Nya bahawa kebenaran akan membebaskan mereka (Yohanes 8:31-32). Tetapi Dia juga memberi amaran ini, “Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa” (ayat 34). Jenis kebahagiaan yang terbaik datang daripada kebebasan yang kita temui apabila kita menerima kebenaran ini: Yesus adalah jalan untuk mendapat hidup yang kelimpahan dan memuaskan.