Pada bulan Mac 2014, suatu konflik puak berlaku di kawasan kampung saya, memaksa seluruh keluarga bapa saya, bersama-sama dengan orang pelarian yang lain, berlindung di ibu kota di daerah itu. Sepanjang sejarah, orang yang berasa tidak selamat di tanah air mereka telah mengembara ke tempat-tempat lain demi keselamatan dan sesuatu yang lebih baik.
Ketika saya melawat dan berbual-bual dengan orang dari kampung saya, saya terfikir akan kota-kota perlindungan dalam Yosua 20:1-9. Ini adalah tempat-tempat selamat yang ditetapkan bagi orang yang melarikan diri daripada “orang yang hendak membalas dendam” kerana melakukan pembunuhan yang tidak disengajakan (ayat 3). Kota-kota ini menawarkan keamanan dan perlindungan.
Orang masa kini masih mencari tempat perlindungan, walaupun untuk pelbagai sebab. Namun meskipun kita memerlukan tempat perlindungan ini, tempat perteduhan dan makanan yang diberikan tidak dapat memenuhi sepenuhnya keperluan orang pelarian. Keperluan lain hanya boleh ditemui di dalam Tuhan. Mereka yang berjalan dengan Tuhan mendapat tempat perteduhan yang benar dan perlindungan yang paling selamat dalam Dia. Ketika Israel kuno dibawa ke dalam pembuangan, Tuhan berkata, “Aku akan menyertai mereka di tempat itu” (Yehezkiel 11:16).
Bersama dengan pemazmur, kita boleh mengatakan dengan yakin kepada Tuhan, “Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku” (Mazmur 32:7).