Seorang lelaki dalam pertengahan umurnya mendekati saya selepas saya mengetuai satu bengkel di tempat kerjanya. Dia bertanya soalan ini: “Saya telah menjadi Kristian hampir seluruh hidupku, tetapi saya sentiasa kecewa dengan diri saya. Kenapa saya seolah-olah selalu melakukan perkara yang saya tidak ingin lakukan, malah rasanya saya tidak pernah melakukan perkara yang saya tahu patut lakukan? Tidakkah Tuhan semakin jemu dengan saya?” Nampaknya dua lelaki yang berdiri di sebelah saya juga tidak sabar untuk mendengar jawapan itu.

Ini adalah suatu pergelutan yang biasa dan Rasul Paulus juga mengalaminya. “Aku tidak memahami perbuatanku sendiri,” katanya, “Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan” (Roma 7:15). Namun syukurnya: Kita tidak perlu tinggal dalam perangkap keputusasaan itu. Untuk mengungkap semula kandungan yang ditulis oleh Paulus dalam Roma 8, yang penting adalah kita berhenti memberi tumpuan kepada peraturan dan mula memberi tumpuan kepada Yesus. Kita tidak boleh berbuat apa-apa dengan naluri berdosa kita dengan kekuatan kita sendiri. Jawapannya adalah tidak “berusaha keras untuk mematuhi peraturan-peraturan dengan baik.” Sebaliknya, kita perlu memberi tumpuan kepada Dia yang Esa yang menunjukkan kasihan kepada kita dan bekerjasama dengan Roh yang mengubah kita.

Apabila kita memberi tumpuan kepada peraturan, kita sentiasa diingatkan bahawa kita tidak akan menjadi cukup baik untuk mendapat rahmat Tuhan. Tetapi apabila kita memberi tumpuan kepada Yesus, kita akan semakin menyerupai-Nya.