Rumah Jenny terletak di tepi jalan kecil sebuah kampung, dan jalan ini selalu digunakan oleh pemandu-pemandu pada masa sibuk untuk mengelakkan jalan utama yang berdekatan dan lampu isyarat. Beberapa minggu yang lalu, pekerja-pekerja buruh datang untuk membaiki permukaan jalan yang rosak dengan membawa sekatan besar dan papan-papan tanda “Dilarang Masuk.” “Saya berasa bimbang pada mulanya,” kata Jenny, “saya ingat saya tidak dapat mengeluarkan kereta dari rumah saya sehingga pembaikan jalan itu siap. Namun, apabila melihat papan tanda dengan lebih dekat, saya menyedari papan tanda tertulisnya, ‘Dilarang Masuk: Jalan Masuk bagi Penghuni Sahaja.’ Maka saya tidak perlu melalui lencongan atau sekatan. Saya berhak masuk dan keluar dari kawasan itu sesuka hati kerana saya tinggal di situ. Saya berasa diri amat istimewa!”

Dalam Perjanjian Lama, jalan masuk untuk menghadap Tuhan dalam Khemah TUHAN dan Rumah TUHAN mempunyai banyak batasan yang ketat. Hanya Imam Agung yang boleh masuk ke belakang tirai dan mempersembahkan korban di Bilik Maha Suci sekali setahun (Imamat 16:2-20; Ibrani 9:25-26). Namun pada saat Yesus meninggal, tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai, menunjukkan bahawa sekatan di antara manusia dan Tuhan dilenyapkan selama-lamanya (Markus 15:38).

Kerana pengorbanan Kristus untuk dosa kita, mereka yang mengasihi dan mengikuti-Nya boleh masuk ke dalam hadirat-Nya pada bila-bila masa. Dia telah memberi kita hak masuk.