Pada tahun 1952, Florence Chadwick mencuba untuk berenang sejauh 41.8 km dari Pantai California ke Pulau Catalina. Selepas 15 jam, kabut tebal mula menganggu penglihatannya, dia pun tidak dapat menentukan arahnya. Akhirnya dia terpaksa menyerah kalah. Chadwick berasa kesal selepas mendapat tahu bahawa hanya sejauh 1.6 km lagi untuk sampai ke destinasi jika dia tidak putus asa.

Dua bulan kemudian, Chadwick mencuba kali kedua untuk berenang ke Pulau Catalina dari Pantai California. Seperti kali pertama, kabut tebal menjelang lagi, tetapi kali ini dia sampai ke destinasinya dan menjadi wanita pertama yang berenang di Selat Catalina. Chadwick berkata bahawa dia menumpukan fikiran pada gambaran pinggir laut walaupun pada masa dia tidak dapat melihatnya.

Apabila masalah-masalah kehidupan mengaburi penglihatan kita, kita mempunyai satu peluang untuk belajar melihat sasaran kita dengan mata yang beriman. Surat dalam Perjanjian Baru kepada orang Ibrani menggesa kita “menempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir” (12:1-2). Apabila kita ingin berputus asa, inilah tanda bagi kita untuk mengingat bahawa Yesus bukan sahaja menderita untuk kita, malah perbuatan-Nya kini juga membantu kita menanggung penderitaan dengan sabar—sehingga pada hari kita bersemuka dengan-Nya.